Pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail diperiksa setiap 2 tahun, kata menteri


Pokok yang tumbang di Jalan Sultan Ismail petang tadi hingga menyebabkan seorang terbunuh, dikenal pasti sudah berusia lebih 50 tahun, kata Dr Zaliha Mustafa. – Gambar Facebook, 7 Mei, 2024.

POKOK yang tumbang di Jalan Sultan Ismail petang tadi hingga menyebabkan seorang terbunuh, dikenal pasti sudah berusia lebih 50 tahun, kata Dr Zaliha Mustafa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata pokok itu dipantau oleh Menara IMC dan diperiksa oleh arboris berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setiap dua tahun.

“Kadang-kala pokok nampak sihat di luar tetapi dalamannya tidak, sebab itu penting untuk kita wujudkan garis panduan.

“Menara IMC berurusan secara langsung dengan jabatan lanskap DBKL untuk mengadakan pemeriksaan,” katanya dipetik berkata dalam laporan ketika melawat tempat kejadian bersama Datuk Bandar Kamarulzaman Mat Salleh.

Zaliha berkata DBKL juga akan melihat garis panduan yang perlu diambil agar memastikan pokok sudah tua ini diambil bagi keselamatan orang awam.

“Kita juga mengenal pasti banyak pokok berusia sekitar 50 sehingga 80 tahun di ibu negara yang mana pokok-pokok ini hanya menunggu masa untuk tumbang lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Dalam insiden itu, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa dilaporkan cedera selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail. – 7 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen