KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki hari ini berkata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak akan ditahan dalam masa terdekat berhubung kes rasuah.
“Kita tidak berhasrat untuk menahan beliau kerana siasatan masih dijalankan,” katanya kepada media ketika menghadiri majlis pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah (NACS) 2024-2028, di Putrajaya, hari ini.
Pada 26 April, Azam mengesahkan Dr Mahathir ialah antara individu berprofil tinggi yang disiasat oleh SPRM berhubung isu pengisytiharan harta.
Dua anak Dr Mahathir, Mirzan dan Mokhzani, juga diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Azam tidak memberikan jawapan ketika ditanya berkenaan pelanjutan kontrak beliau sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, yang akan tamat bulan ini.
“Saya tidak mahu ada spekulasi dan saya masih ada masa hingga 12 Mei iaitu hari jadi saya,” katanya. – 7 Mei, 2024.
Komen