Seorang maut akibat pokok tumbang atas kereta


Anggota bomba cuba mengeluarkan dua mangsa terperangkap di dalam kereta dalam insiden pokok tumbang ketika hujan lebat petang tadi. – Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamatn, 7 Mei, 2024.

SEORANG lelaki terbunuh susulan pokok tumbang di atas keretanya di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur ketika hujan lebat petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mengesahkan insiden itu, berkata dua mangsa dibawa keluar dari kereta berkenaan oleh anggota bomba.

Katanya, seorang lelaki berusia 47 tahun gagal diselamatkan dalam kejadian itu sementara seorang lagi lelaki berjaya dikeluarkan daripada kereta itu dan mengalami kecederaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi lelaki berusia 26 tahun cedera dan dibawa ke hospital,” kata ketua operasi Fatta M. Amin.

Sementara itu, beliau berkata 17 kenderaan rosak akibat insiden itu dan landasan monorel turut terjejas terkena pokok tumbang itu.

“Kami terima panggilan kecemasan jam 2.19 petang dan pasukan penyelamat segera dikerah ke tempat kejadian.

“Seramai 27 anggota bomba dari balai Cheras dan Hang Tuah dihantar ke sana,” katanya. – 7 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen