Kelemahan Padu ialah mudah tukar kata laluan, kata menteri Sarawak


Desmond Davidson

KELEMAHAN terbesar yang dilihat Sarawak dalam Hab Pangkalan Data Pusat, atau lebih dikenali sebagai Padu, ialah kemudahan menukar kata laluan seseorang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali memberitahu sidang dewan hari ini.

Timbalan menteri itu berkata kata laluan boleh ditukar dengan mudah hanya dengan menggunakan nombor kad pengenalan seseorang.

Menurutnya isu mengenai keselamatan dan integriti data peribadi tidak boleh dipandang ringan.

Menjawab Adun Beting Maro Razaili Gapor (GPS), Sharifah berkata jenayah siber yang melibatkan pelanggaran data telah meningkat di negara ini.

Pada 2023, ia mencapai rekod tertinggi, katanya.

“Isu utama berkaitan pelaksanaan Padu di Sarawak berkisar tentang keselamatan dan integriti data kami.

“Jenayah siber meningkat setiap tahun, terutamanya berkaitan penyalahgunaan data. Tanpa perundangan yang kukuh, sistem Padu menjadi terdedah,” katanya.

Beliau menambah bahawa kekurangan rangka kerja undang-undang juga membayangkan tidak ada jaminan sistem Padu dilindungi sepenuhnya.

“Penyatuan data semua rakyat Malaysia dalam satu pangkalan data pusat perlu dilengkapi dengan tahap keselamatan tertinggi.”

Sharifah berkata bagi memastikan keselamatan data peribadi, kerajaan Sarawak akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan persekutuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai langkah keselamatan dan protokolnya.

Beliau berkata kerajaan Sarawak melalui agensinya, Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA), akan terus menyelia dan memantau tadbir urus keselamatan siber dan data untuk sektor awam dan swasta serta rakyat Sarawak.

“Ini bagi memastikan data dan maklumat semua pihak dilindungi.” – 7 Mei 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen