PM tawar didik pembangkang mengenai ekonomi henti maklumat salah


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersedia memberi taklimat kepada pembangkang mengenai keadaan ekonomi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei 2024

BAGI mengelakkan penyebaran maklumat mengelirukan kepada orang ramai, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersedia memberi taklimat kepada pembangkang mengenai keadaan ekonomi negara.

Menurutnya pembangkang sering mengkritik kerajaan secara tidak adil dan mengelirukan orang ramai, yang katanya jelas kelihatan dalam kempen Kuala Kubu Baharu.

“Malah mereka mengecam pengumuman baru-baru ini mengenai kenaikan gaji 13% untuk kakitangan awam.

“Mungkin kita patut memberi taklimat kepada mereka mengenai ekonomi negara supaya mereka berhenti mengelirukan orang ramai dengan maklumat yang tidak tepat,” kata Anwar, yang juga menteri kewangan, pada perhimpunan bulanan kementerian itu.

Sementara itu, Anwar akan bertemu dengan Petronas minggu ini untuk membincangkan projek bersama syarikat minyak nasional itu dengan Saudi Aramco di Kompleks Bersepadu Pengerang Johor (PIC).

“Ada sedikit masalah yang memerlukan keputusan di peringkat kerajaan,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Pada Oktober, Anwar berkata Saudi Aramco komited untuk mengembangkan kemudahan PICnya untuk memasukkan aktiviti hiliran petrokimia dan gas, menjadikannya hab minyak dan gas terbesar di Asia Tenggara.

Saudi Aramco ialah syarikat tenaga dan kimia bersepadu terbesar di dunia. – 7 Mei 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen