Lelaki pamer gambar Agong pada kempen PRK KKB kena penjara, denda


MAHKAMAH Majistret Kuala Kubu Baru hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 kepada seorang lelaki berusia 66 tahun kerana menyalahgunakan gambar Agong pada kereta yang dipandunya.

P. Ramasamy dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di hadapan Majistret Siti Fatimah Talib.

Ramasamy diperintahkan untuk memulakan hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 4 Mei dan penjara 10 bulan lagi jika dia gagal membayar denda.

Pada Sabtu dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan polis kerana menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada kenderaan utiliti sukan (SUV) semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Ahmad Faizal Tahrim berkata satu laporan polis dibuat pada Jumaat selepas SUV itu dikesan dengan gambar Agong dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta bendera Pakatan Harapan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Ahmad Faizal Tahrim juga berkata polis merampas SUV berwarna hijau yang didakwa digunakan lelaki berkenaan.

Kedua-dua lelaki berusia 60-an itu direman tiga hari sementara menunggu siasatan mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan. – 6 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen