Cadangan 1 pemimpin 1 kampung dibentang pada Kabinet, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika ditemubual wartawan pada Majlis Kenduri Rakyat Aidilfitri Perpaduan di Galeri Pejuang Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam hari ini. – Gambar Facebook, 5 Mei, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menyarankan agar setiap pemimpin di negara ini termasuk dirinya bertanggungjawab menjaga sebuah kampung untuk mengetahui secara langsung masalah yang dihadapi rakyat, lapor Bernama.

Berucap pada Majlis Kenduri Rakyat Aidilfitri Perpaduan di Galeri Pejuang Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam hari ini, beliau berkata cadangan itu akan melibatkan Kabinet, pemimpin kerajaan, penjawat awam kanan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Anwar menambah, cadangan itu akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet pada Rabu.

“Ia akan dimulakan di Cherok Tok Kun. Anwar Ibrahim akan jaga Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam.

“Bagaimana saya jaga…saya akan panggil semua wakil masyarakat di kampung itu dan dia kena bagi tahu semua masalah yang ada di situ.

“(Contoh beritahu) ada yang menganggur, ada yang tercicir, miskin tegar, ada yang rumah dia robek, kemudian ada masalah dadah, masalah jenayah, perlukan TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) dan semua itu dibincang oleh orang kampung dan beritahu secara langsung kepada orang yang bertanggungjawab,” katanya.

Anwar menyifatkan cadangan itu merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi di kampung-kampung selain pegawai daerah dan kerajaan terus menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka.

Beliau yakin cadangan pertama kali itu akan memudahkan penyelarasan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama ketua atau wakil kampung.

Menurutnya cadangan setiap pemimpin menjaga satu kampung itu juga akan membuahkan hasil kerana ia akan melibatkan semua menteri, pimpinan tertinggi kerajaan dan GLC dalam mendengar masalah yang dihadapi masyarakat kampung di bawah jagaan mereka.

“Kalau kita ada KSN (Ketua Setiausaha Negara), setiausaha kerajaan negeri, semua ini kalau kita kumpul ada 2,000 orang yang jawatan-jawatan tinggi dan kemudian kita jemputa pula syarikat-syarikat.

“Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, pengarah eksekutif Petronas. Dia jaga kampung dia. Dia pergi situ bukan sebagai Tan Sri, dia pergi sebagai anak kampung dengar masalah orang kampung. Jadi dia nanti cuba selesaikan lebih senang,” katanya.

Anwar berkata cadangan tersebut berikutan hasil perjumpaannya Bersama pemimpin masyarakat Permatang Pauh dan Cherok Tok Kun pagi tadi. – 5 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen