Calon bebas PRK KKB tidak tergugat desakan berundur


Nyau Ke Xin dedah terima banyak panggilan 'menasihatinya' pertimbangkan semula pencalonannya dalam PRK KKB. – Gambar Facebook, 5 Mei, 2024.

CALON bebas Nyau Ke Xin mendakwa menerima tekanan agar menarik diri daripada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada 11 Mei, lapor Free Malaysia Today.

Nyau mendedahkan dihujani panggilan telefon tidak dikenali sejak hari penamaan calon pada 27 April, menggesanya untuk mempertimbangkan semula pencalonannya.

Menurutnya, pemanggil itu “sangat sopan” dan berkata usahanya sia-sia dan menasihati agar menarik diri.

“Mereka memberitahu saya tidak mempunyai peluang untuk menang dan usaha saya tidak membuahkan hasil,” Nyau menceritakan kepada FMT.

“Ia membayangkan yang saya harus menarik diri untuk mengelakkan pembaziran sumber dan untuk mengelakkan perpecahan undi.”

Seorang pemanggil berkata Nyau tidak mempunyai sumber kewangan untuk melancarkan kempen yang boleh dipercayai, menggesanya “duduk di rumah”.

Bagaimanapun undang-undang pilihan raya tidak membenarkannya berundur pada peringkat ini, tetapi beliau boleh menarik diri daripada berkempen. Namun, ia bukanlah tindakan yang Nyau mahu lakukan.

Nyau berkata beliau tetap tegas, berazam untuk mempergiatkan usaha kempennya.

Beliau juga menolak dakwaan yang melabelnya sebagai proksi politik, sambil menambah mahu menawarkan pengundi alternatif selain parti atau gabungan sedia ada.

“Tujuan saya adalah menyediakan ruang untuk pengundi menyatakan perasaan tidak puas hati mereka dengan keadaan semasa,” katanya.

PRK itu akan menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao daripada Pakatan Harapan/DAP, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional/Bersatu), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau. – 5 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen