Pesawat ringan terhempas di Sungkai, 2 mangsa cedera


Alfian Z.M. Tahir

Kejadian berlaku di kawasan ladang kelapa sawit di Felda Gunung Besout 2 Tambahan di Sungkai, Perak  pagi tadi. – Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, 4 Mei, 2024.

SEBUAH pesawat ringan bagi tujuan latihan terhempas di kawasan ladang kelapa sawit di Felda Gunung Besout 2 Tambahan di Sungkai, Perak  pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam satu kenyataan berkata kejadian mengakibatkan dua mangsa cedera.

Dua individu berkenaan adalah jurulatih penerbangan, Kapten Shahrul Imran berusia 30-an dan pelatih, Le Ho Jia berusia 20-an.

Kenyataan itu menyebut sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan bantuan BBP Bidor dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 9.46 pagi.

“Makluman awal, sebuah kapal terbang dimaklumkan jatuh berdekatan Ladang MAIP Sungkai iatu kapal terbang jenis Cesna 172 daripada Layang Layang Flying Academy,” katanya.

Sementara itu, portal The Vibes melaporkan Pengurus Layang Layang Flying Academy Shahdon Poong mengesahkan dua mangsa terbabit telahpun dibawa keluar dari bangkai pesawat.

Ini merupakan nahas keempat berlaku dalam tempoh 14 bulan.

Pada 23 April lalu, seramai 10 mangsa terkorban dalam tragedi dua pesawat helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas selepas berlanggar semasa latihan di pangkalan Lumut, Perak. Insiden melibatkan satu pesawat HOM yang membawa tujuh nyawa dan satu pesawat Fennec yang membawa tiga nyawa.

Manakala pada 13 Februari, sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, mengorbankan juruterbang dan pembantunya.

Dua mangsa berkenaan ditemukan berada di dalam kokpit pesawat pada kedalaman 1.52 meter di dalam tanah.

Pada 17 Ogos 2023 pula, sebuah pesawat ringan Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di satu jalan besar berhampiran satu kawasan penempatan penduduk di Bandar Elmina, Shah Alam. Kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 2.45 petang.

Pesawat dengan nombor ekor N28JV dikendalikan Jetvalet Sdn Bhd itu berlepas dari Langkawi sekitar jam 2 petang dan dijadualkan mendarat di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah. Nahas itu mengorbankan 10 individu, termasuk orang awam yang kebetulan berada di lokasi kejadian. – 4 Mei, 2024.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen