Anwar mulakan jelajah madani di Pulau Pinang esok


Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka menyertai program masyarakat di negeri utara selama tiga hari di Pesta Sungai Nibong di Pulau Pinang esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim dijangka menyertai program masyarakat di negeri utara selama tiga hari di Pesta Sungai Nibong di Pulau Pinang esok, sebagai memulakan jelajah madani di seluruh negara.

Program madani dijangka diadakan di pelbagai negeri di seluruh negara secara berperingkat.

Acara tiga hari di tapak pesta itu akan disertai pelbagai jentera kerajaan dalam menyebarkan enam nilai utama madani – kemampanan, kemakmuran, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Orang ramai dijangka menghadiri program itu terutama penduduk di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Anwar akan turut menghadiri jamuan rakyat di kawasan Parlimennya sebelum ini, Permatang Pauh esok.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan turut mengadakan program madani secara berasingan di SMKA (P) Al-Mashoor di George Town untuk golongan belia.

Sementara itu, PKR Pulau Pinang akan mengadakan ulang tahun parti yang ke-25 di peringkat negeri hari ini di Hotel Light, Seberang Jaya.

Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang Nurul Izzah Anwar dan ibunya yang juga bekas presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dijangka berucap pada majlis itu. – 4 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen