Zafrul gagal permohonan fail afidavit tahanan rumah Najib


Hakim menolak permohonan Tengku Zafrul Aziz memfailkan afidavit berhubung titah adendum melibatkan Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2024.

TENGKU Zafrul Aziz hari ini gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai pencelah dalam permohonan Najib Razak bagi menjalani tahanan rumah.

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu memohon untuk dibenarkan memfailkan afidavit bagi “membetulkan kesilapan fakta” dalam afidavit Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong semakan kehakiman Najib.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan dilaporkan berkata mahkamah menolak permohonan itu atas alasan tiada peruntukan undang-undang bagi seseorang yang bukan pihak dalam prosiding semakan kehakiman memfailkan afidavit.

Bagaimanapun mahkamah memberitahu Tengku Zafrul boleh mencuba sekali lagi jika Najib diberi kebenaran semakan undang-undangnya, lapor Free Malaysia Today.

Perkara itu didengar di kamar Hakim Mahkamah Sivil Amarjeet Singh.

Pada 22 April, Tengku Zafrul menulis surat kepada Mahkamah Tinggi memohon kebenaran memfailkan afidavit.

Ia selepas Zahid mengesahkan wujudnya titah adendum daripada bekas Agong yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Presiden Umno itu menyokong tuntutan Najib dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April.

Zahid berkata Tengku Zafrul menunjukkan dokumen itu menerusi telefon bimbitnya di rumahnya pada 30 Januari. Zahid berkata titah adendum itu mempunyai cop mohor dan tandatangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.

Najib memohon kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi pelaksanaan perintah Agong yang didakwa dikaitkan dengan pengampunan separa yang mengurangkan separuh hukuman penjara kepada enam tahun dan mengurangkan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Dalam afidavit Najib yang menyokong semakan kehakimannya, bekas ahli Parlimen Pekan itu berkata titah Agong bagi pengampunan separa itu disertakan dengan titah adendum yang mengandungi peruntukan tahanan rumah.

Bekas presiden Umno itu memohon perintah mahkamah untuk memaksa menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan dan responden lain mengesahkan dakwaan titah adendum dalam pengampunan separa.

Najib berkata Agong mengeluarkan titah adendum pada 29 Januari, hari yang sama pengampunan dikeluarkan.

Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Jun keputusan sama ada membenarkan Najib meneruskan cabaran undang-undangnya. – 2 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen