Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia mulai operasi 1 Mei, kata PM


MCBA akan menyelaras dan memastikan kelancaran serta kawalan keselamatan di sempadan Malaysia dan antara agensi terbabit adalah polis, kastam, imigresen dan Kementerian Kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2024.

SEMPADAN Malaysia akan diuruskan dan dikawal di bawah satu agensi saja iaitu Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Agensi itu mula beroperasi semalam tetapi undang-undang yang mengawal agensi itu akan hanya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai, katanya.

“Sumber tenaga MCBA adalah agensi sedia ada di bawah seliaannya iaitu polis, Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen.

“Oleh itu semua jabatan tanpa pengecualian perlu menerima arahan ini secara serius dan bertindak sekarang,” katanya ketika berucap pada sambutan Aidilfitri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.

MCBA akan menyelaras dan memastikan kelancaran serta kawalan keselamatan di sempadan Malaysia.

Terdahulu, Anwar menyaksikan majlis serah tugas antara KDN dan rakan kerjasama di bawah MCBA.

Dalam satu kenyataan, KDN berkata Kabinet bersetuju dengan penubuhan MCBA pada 17 April.

Antara lain, agensi dan jabatan terbabit dalam MCBA adalah polis, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan. – 2 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen