Kenaikan gaji kakitangan awam tidak patut diperdebatkan, kata Sim


Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kenaikan gaji untuk kakitangan awam yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam tidak sepatutnya diperdebatkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2024.

MENTERI Sumber Manusia Steven Sim berkata kenaikan gaji untuk kakitangan awam yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam tidak sepatutnya diperdebatkan, lapor Bernama.

Sim berkata kerajaan menghargai semua golongan pekerja daripada pelbagai sektor dan dasar Gaji Progresif sebagai bukti komitmen untuk menaikkan kadar upah minimum kakitangan swasta.

“Kakitangan awam adalah seperti pekerja barisan hadapan. Jika mahu ekonomi negara rancak supaya (kerajaan) boleh mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik, maka kita perlukan penjawat awam yang memiliki produktiviti dan kecekapan yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui selepas satu program di Hulu Selangor, malam tadi.

Semalam, Anwar mengumumkan kakitangan awam akan menerima kenaikan gaji lebih 13% bermula Disember ini, menjadikan ia adalah kenaikan paling tertinggi dalam sejarah negara.

Sim berkata tahun lalu, negara merekodkan pelaburan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM329.5 bilion atas sokongan semua pihak, termasuk kakitanan awam.

“Dengan pelaburan ini, ekonomi kita berkembang dan akan mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji tinggi. Jadi ada hubungan simbiotik atau kerjasama, bukannya persaingan,” katanya. – 2 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen