Perbincangan kasino Forest City boleh bawa kepada dakwaan dan penjara, kata PM 


Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 Mei, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, berhubung dakwaan baginda mahu sebuah kasino dibina untuk menyelamatkan Forest City di Johor, menyifatkan dakwaan itu berniat jahat.

Sambil membidas pihak yang menuduhnya meluluskan lesen kasino untuk Forest City, Johor, beliau menegaskan tidak pernah mendengar sebarang cadangan untuk mewujudkan kasino di Johor.

“Baginda tidak pernah menyatakan minat untuk membenarkan perjudian di sana. Jadi dari mana (khabar angin) ini? Daripada penjahat. Mereka sepatutnya mengambil alih bilik saya di Sungai Buloh (Penjara),” katanya.

Bercakap pada sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan, Anwar berkata beliau boleh menerima kritikan terhadapnya, tetapi mereka yang mengkritik golongan diraja harus bersedia menghadapi akibatnya.

“Tindakan sedemikian boleh membawa kepada akibat undang-undang termasuk pendakwaan dan pemenjaraan. Kerajaan beraja tidak boleh dikritik sama seperti ahli politik.

“Jika anda mengutuk, apa lagi fitnah kerabat diraja, jawapannya ialah pendakwaan, hukuman dan penjara,” katanya.

Anwar baru-baru ini menolak laporan bahawa Putrajaya sedang mempertimbangkan kasino kedua di Forest City, Johor, untuk memulihkan projek yang tergendala itu.

Sumber yang mengetahui perkara itu sebelum ini memberitahu Bloomberg bahawa Anwar, juga Menteri Kewangan telah bertemu pengasas Berjaya Corporation Vincent Tan dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting untuk membincangkan perjanjian itu.

 Mereka berkata Sultan Ibrahim turut diwakili dalam mesyuarat itu. – 1 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen