Amirudin ‘poster boy’ untuk PRK KKB, kata ketua Pemuda Amanah


Amirudin Shari dipilih sebagai poster boy untuk PRK KKB kerana rakyat Selangor biasa dengan program anjuran kerajaan negeri, kata Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2024.

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari dipilih sebagai “poster boy” untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) kerana rakyat Selangor biasa dengan program anjuran kerajaan negeri, kata Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda.

Hasbie berkata rakyat lebih biasa dengan impak atau program yang dianjurkan kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu.

Beliau memberitahu portal Malaysiakini, Amiruddin turut dipilih sebagai “poster boy” kerana beliau lebih lama berkhidmat sebagai menteri besar, berbanding Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Kenyataan itu susulan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini memberi bayangan yang Anwar mungkin tidak menghadiri kempen di KKB.

PRK KKB akan diadakan pada 11 Mei, menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Calonnya adalah Pang Sock Tao daripada Pakatan Harapan (PH), Khairul Azhari Saut daripada Perikatan Nasional (PN), Hafizah Zainuddin (PRM) dan calon bebas Nyau Ke Xin.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya selama tiga penggal daripada DAP, Lee Kee Hiong. – 1 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen