QSR Brands sahkan tutup sementara 108 cawangan KFC


QSR Brands (M) Holdings Bhd merupakan pemegang francais KFC Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2024.

QSR Brands (M) Holdings Bhd yang merupakan pemegang francais Kentucky Fried Chicken (KFC) Malaysia mengesahkan penuntupan sementara 108 cawangan rangkaian makanan segera itu, seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan semalam, QSR Brands berkata langkah tersebut diambil sebagai tindak balas terhadap situasi ekonomi yang mencabar ketika ini.

Akhbar harian berbahasa Cina Nanyang Siang Pau sebelum ini melaporkan sebanyak 108 cawangan KFC di seluruh negara telah ditutup buat sementara waktu.

“Pekerja dari cawangan yang terjejas telah ditawarkan peluang untuk berpindah ke kedai yang beroperasi sebagai sebahagian daripada strategi taktikal untuk mengoptimumkan sumber dalam zon perdagangan dengan penglibatan pelanggan yang lebih tinggi.

“Menyumbang secara positif kepada masyarakat Malaysia, memelihara kecintaan jenama terhadap KFC dan melindungi pekerja jenama itu semuanya menjadi keutamaan kepada organisasi,” kata QSR Brands.

Ia juga berkata fokus syarikat itu tetap kepada memberikan produk dan perkhidmatan berkualiti kepada para pelanggan.

“QSR Brands terus menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga kerana dapat memberi kembali kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.

“Kami amat percaya rakyat akan mengiktiraf latar belakang Malaysia kami, keikhlasan kami dan kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” katanya.

QSR Brands ialah syarikat tempatan dimiliki oleh usahawan Malaysia yang mengendalikan perniagaan 850 restoran francais KFC di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja, juga lebih 480 restoran Pizza Hut di Malaysia dan Singapura. – 30 April, 2024.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen