Malaysia sedia sertai Qatar rawat rakyat Palestin di Gaza, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bersedia bekerjasama dengan Qatar dan negara lain di Asia Barat untuk menawarkan rawatan kepada rakyat Palestin yang cedera dalam serangan rejim Zionis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2024.

MALAYSIA bersedia untuk bekerjasama dengan Qatar dan negara lain di Asia Barat untuk menawarkan rawatan kepada rakyat Palestin yang cedera dalam serangan rejim Zionis, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau membuat ikrar itu kepada Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani yang juga menteri luar negeri semasa pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin di luar Forum Khas Ekonomi Dunia (WEF) di Riyadh semalam, lapor Bernama.

Dalam pertemuan itu Anwar turut mengucapkan terima kasih Malaysia kepada Qatar kerana membantu seorang rakyat Malaysia Nurul Ain Haron keluar dari Gaza dengan selamat pada November 2023.

Nurul Ain bersama suami warga Palestin Mohamed AM Shaat selamat tiba di Malaysia pada 14 November 2023 selepas berjaya keluar dari kawasan konflik Gaza melalui sempadan Rafah.

Anwar juga berkata Malaysia terlibat dalam menyalurkan sokongan kemanusiaan dan menerbangkan 100 tan barangan keperluan kepada penduduk Gaza, menghantar 20 tan melalui laut dan mengagihkan 1,500 tan metrik melalui NGO dari Malaysia.

Anwar juga memaklumkan kepada rakan sejawatannya bahawa beliau akan melawat Doha dan menghadiri Forum Ekonomi Qatar yang dijadualkan pada pertengahan bulan depan.

Mesyuarat itu turut menyentuh peluang untuk meningkatkan pelaburan antara kedua-dua negara dan meningkatkan perdagangan Malaysia-Qatar yang kini bernilai RM4.34 bilion. – 30 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen