BCorp mahu polis kenal pasti sumber laporan kasino


BERJAYA Corporation Bhd (BCorp) membuat laporan polis berhubung laporan tidak tepat berkaitan dakwaan pengasasnya, Vincent Tan terbabit dalam rundingan pembukaan kasino di Forest City, Johor.

Dalam satu kenyataan, BCorp hari ini berkata laporan itu bertujuan meminta siasatan polis berhubung dakwaan itu, khususnya dalam mengenal pasti siapa sebenarnya “sumber yang tidak dinamakan” yang menyebarkan kenyataan palsu.

Ia berkata artikel disiarkan itu berniat jahat dan bertujuan untuk mewujudkan kekecohan politik.

“Kami percaya polis akan menyiasat perkara itu, dan kami menggalakkan semua penerbitan dilakukan dengan lebih berhati-hati dan jangan membuat sebarang dakwaan sebelum mengesahkan perkara itu terlebih dulu,” katanya.

Wakil BCorp membuat laporan polis pada 26 April lalu.

Laporan itu dibuat terhadap Bloomberg News dan The Edge Singapore berhubung laporan media berkenaan pada 25 April.

“Kami percaya penerbitan atau penerbitan semula artikel itu dibuat dengan niat jahat, bertujuan mencetuskan pergolakan politik, menjejaskan kepercayaan orang ramai, dan pemesongan persepsi umum kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan perdana menteri,” katanya.

BCorp berkenaan menuduh sumber tidak dinamakan itu menyebarkan kenyataan tidak benar dan palsu, sambil menegaskan media menyiarkan laporan tersebut tidak berusaha mengesahkan dakwaan sebelum ia diterbitkan.

Ini adalah kali kedua BCorp mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu.

Ia sekali lagi menegaskan Tan tidak terlibat dalam sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak dilaporkan, termasuk Anwar Ibrahim, Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting, termasuk wakil Sultan Ibrahim.

Anwar dan Genting menafikan laporan itu, dengan perdana menteri menyeru tindakan diambil apa digambarkan sebagai penipuan dalam artikel Bloomberg.

Dalam perkembangan berkaitan, aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, dijangka didakwa berhubung komennya berkenaan laporan kasino itu.

Dia dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Badrul ditahan pada Sabtu dan dikenakan tahanan reman. – 29 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen