Faktor Sanusi di kubu kuat PAS di Kedah


Di bawah kepimpinan Muhammed Sanusi Md Nor, PN menewaskan Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz pada 2022 apabila kedua-duanya kalah di Parlimen Langkawi dan Jerlun. – Gambar Facebook, 28 April, 2024.

SUKA atau tidak kepadanya, Menteri Besar Kedah Muhammed Sanusi Md Nor dijangka akan kekal lama dalam arena politik Kedah walaupun pembangunan di situ perlahan serta jurang hubungan antara negeri itu dan kerajaan persekutuan semakin luas.

Sanusi, 49, menang pilihan raya negeri (PRN) dengan majoriti besar apabila Perikatan Nasional (PN) menewaskan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) dengan mengaut 33 daripada 36 kerusi DUN.

Keseluruhannya, majoriti kerusi dimenangi PN mengatasi PRN pada 2018, dan Sanusi yang juga Adun Jeneri, kini kukuh bertapak di Kedah.

Lahir di Sik, graduan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berjaya mengatasi apa yang pernah dilakukan mentornya iaitu allahyarham Azizan Abdul Razak, yang juga menteri besar Kedah ke-10.

Di bawah kepimpinan Sanusi, PN turut membenamkan perdana menteri tertua dunia Dr Mahathir Mohamad, 98, dan anaknya Mukhriz, 59, pada 2022 apabila kedua-duanya hilang deposit dalam pilihan raya umum, masing-masing di Parlimen Langkawi dan Jerlun.

Kini, pemerhati politik tertanya-tanya adakah Sanusi mampu mempertahankan kubunya di Kedah untuk PAS untuk tempoh panjang, seperti allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat lakukan untuk PAS ketika mentadbir 23 tahun di Kelantan dari 1990 hingga 2013.

Nik Abdul Aziz mungkin akan terus mentadbir jika tidak kerana kekangan faktor usia dan kanser prostat dihidapinya, kerana pengaruhnya memegang Kelantan, hingga kini menjadi satu legenda.

Situasinya hampir sama – Nik Abdul Aziz tidak terkenal kecuali kerana ketinggian ilmu agamanya, ketika PAS mendekati dan meyakinkannya untuk mentadbir Kelantan.

Ketika Sanusi mengambil alih Kedah pada 2020, beliau hanya dipandang sebagai bekas setiausaha politik Azizan tetapi oleh kerana PAS mempunyai kerusi paling banyak di Kedah, beliau ditawarkan jawatan itu kerana beliau juga timbalan pesuruhjaya PAS negeri.

Kedua-dunya, Nik Abdul Aziz dan Sanusi mempunyai kualiti yang sama – kemampuan untuk masuk menyesuaikan diri dalam masyarakat di semua peringkat, orang kenamaan atau penduduk kampung biasa.

Kedua-duanya juga ada semangat juang yang kuat, berani berdepan dengan pemimpin persekutuan, walaupun Nik Abdul Aziz tidak pernah didakwa di mahkamah seperti Sanusi yang berdepan beberapa tuduhan dan saman fitnah.

Jadi, adakah Kedah kini dianggap sebagai kubu kuat Kedah?

Ya dan tidak, kata sumber politik dan lawan politik Sanusi di Kedah.

Menteri Besar Kedah Muhammed Sanusi Md Nor dilihat tidak kekok bercampur dengan masyarakat, dan turut mendekati golongan belia menerusi sukan. – Gambar Facebook, 28 April, 2024.

Pengundi mula jemu?

Terlalu awal untuk meramalkan adakah PAS akan kekal dominan di Kedah kerana pilihan raya umum (PRU) akan hanya diadakan pada 2027/2028, kata pakar politik dari USM Dr Sivamurugan Pandian.

“Saya rasa sifatnya adalah sebab mengapa beliau popular. Cara beliau berkomunikasi dengan orang ramai, mendekati pelbagai kumpulan sasar terutama belia menerusi podcast, menyanyi dan sukan.

“Beliau kelihatan berhubung dan sentiasa dekat dengan mereka; dan isu lain jadi tidak begitu penting,” katanya.

Sivamurugan berkata Sanusi mesra dengan pemandu e-haling dan penghantar barangan, malah tidak kekok dengan golongan mat rempit, begitu juga petani dan peniaga.

Bagaimanapun, Pengerusi Perhubungan DAP Kedah Tan Kok Yew berkata sudah ada tanda menunjukkan pengundi di negeri itu mulai bosan dengan perangai Sanusi.

“Seseorang itu boleh menyanyi, naik basikal dan salahkan orang lain tetapi tidak lama nanti, dia perlu mentadbir negeri juga. Di sinilah Sanusi sedang gagal,” kata Tan.

Tan berkata Sanusi tidak faham yang rakyat mahukan pembangunan ekonomi yang baik, pekerjaan berkualiti dan kemakmuran.

Tambahnya, golongan belia di negeri itu mulai mencari peluang di tempat lain.

Tidak kiralah betapa pandainya Sanusi memanipulasi sesuatu isu dengan menyalahkan pihak lain, legasinya akan ditentukan dengan bagaimana beliau membangunkan Kedah, bukan saja daripada aspek spiritual tetapi dalam bentuk pertumbuhan sebenar untuk negeri, kata Tan.

“Sanusi mungkin menang pusingan pertama tetapi pusingan berikutnya, PH mungkin lebih bersedia untuk berdepan dengannya,” kata Tan.

Antara isu yang disentuh adalah masalah bekalan air tidak konsisten di negeri itu, pertumbuhan ekonomi, infrastruktur baharu dan mengimbangkan keperluan agama dengan kemodenan, serta mengurangkan kebergantungan pembiayaan daripada kerajaan persekutuan.

Ketua Pemuda Umno bahagian Pokok Sena Mohd Farhan Ahmad Lebai Sudin berkata beliau menghormati Sanusi, yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, di mana beliau adalah ahli jawatankuasa persatuan itu.

“Sanusi adalah pelajar sains politik. Beliau tahu populisme adalah cara politik baharu. Ia berlaku di semua tempat, jadi beliau guna isu yang boleh membuatkan beliau popular. Beliau tahu sentimen di Kedah.

“Beliau salahkan semua orang lain atas masalah dihadapi Kedah. Beliau juga menggunakan saluran media sosial untuk kelebihan lebih besar,” kata Farhan.

Beliau bercakap bahasa orang kebanyakan yang menunjukkan beliau adalah rakyat Kedah biasa.

“Jadi secara semulajadinya, pengundi biasa akan suka padanya.” 

Pesaing lebih muda diperlukan

Tetapi Farhan tidak berpendapat yang PAS menerusi Sanusi dapat mempertahankan kubunya di Kedah seperti di Kelantan atau Terengganu yang menjadi akar umbi parti itu selama berdekad, kerana pengundi di Kedah lebih berpendidikan.

“Saya fikir setiap parti akan menikmati masa mereka dalam pentadbiran tetapi bila mereka tidak berjaya melakukannya, pengundi akan menggantikan mereka. Umno ada peluang tetapi mungkin sukar.”

Beliau berkata pengundi Kedah akan sanggup memberi peluang kepada Umno untuk kembali, apatah lagi di negeri ini ramai melahirkan pemimpin Umno, tetapi parti itu perlukan pemimpin muda dan segar untuk berjuang menggantikan PAS.

PAS menerusi menteri besar Kedah dijangka kekal kuat di negeri itu, kecuali jika parti pembangkang dapat menemui cara menangi hati pengundi di Kedah atau ada pemimpin lain boleh menandingi Muhammed Sanusi Md Noor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2024.

Pada masa ini, kepimpinan pembangkang diketuai veteran seperti Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Mahdzir Khalid dan Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar yang banyak memberikan sumbangan kepada Kedah pada masa lalu.

Tetapi Farhan berkata ada keperluan untuk menggilap barisan pemimpin muda untuk berdepan dengan Sanusi, yang kini menjadi wajah PAS di Kedah.

“Jika kita buat kaji selidik terhadap wakil rakyat PAS, ramai juga yang tua. Tetapi memandangkan Sanusi masih muda, pengundi nampak PAS sebagai parti muda dan alternatif kepada PH, BN atau parti lain.”

Maka buat masa ini, Sanusi akan kekal meneruskan legasinya untuk mungkin hingga tiga atau empat penggal, kecuali jika pembangkang dapat pemimpin yang boleh menandingi Sanusi, atau kerajaan persekutuan berjaya temui cara memenangi hati pengundi di Kedah. – 28 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen