Kami bukan di bawah siasatan SPRM, kata anak Dr Mahathir


DUA anak Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan mereka bukan di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan bersama Mirzan dan Mokhzani berkata mereka mahu membuktikan kekayaan yang terkumpul selama ini melalui cara yang sah.

“Kami ingin memaklumkan di sini bahawa kami berdua BUKAN di bawah siasatan SPRM tidak seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media.

“Perintah notis yang diberikan kepada kami adalah sebagai anak kepada seseorang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” kata mereka dalam kenyataan itu.

“Kami faham keseluruhan siasatan ini adalah untuk menentukan sama ada bapa kami menyalahgunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk memperkayakan kami,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Kenyataan mereka dibuat selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan agensi anti rasuah itu sedang menyiasat bapa mereka, Dr Mahathir.

Azam berkata arahan SPRM kepada Mokhzani dan Mirzan untuk mengisytiharkan harta mereka adalah berkaitan siasatan.

Mokhzani dan Mirzan berkata mereka menghargai lanjutan tarikh akhir yang diberikan SPRM kepada mereka untuk mengisytiharkan harta.

“Memandangkan kami dikehendaki mengisytiharkan aset yang diperoleh selama tempoh 43 tahun dan disebabkan kekurangan rekod maklumat selama tempoh berkenaan adalah membantu sekiranya pihak SPRM dapat menentukan (melanjutkan) tempoh masa yang bagi siasatan mereka.

“Terdapat juga sindiran yang menyatakan bahawa kami memerlukan lebih banyak masa kerana kekayaan kami yang terlalu banyak. Ini tidak benar sama sekali,” menurut kenyataan itu.

Mereka berkata kebanyakan dokumen itu tidak lagi tersedia terutamanya daripada institusi kewangan dan juga daripada sektor awam.

Mereka berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hanya memerlukan pembayar cukai untuk menyimpan rekod yang mencukupi untuk tempoh tujuh tahun dan begitu juga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Bagaimanapun, kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengumpulkan dokumen ini tetapi ada yang hampir mustahil untuk diperolehi memandangkan ia tidak lagi wujud,” katanya. – 27 April 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen