Kerajaan dijangka umum rangkaian kedua 5G minggu depan


Kadar penerimagunaan 5G di Malaysiai mencecah hampir 36% setakat pertengahan bulan ini, manakala kadar liputan perkhidmatan itu telah mencapai 80.3% pada Februari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2024.

KERAJAAN dijangka umum rangkaian kedua 5G pada minggu depan, yang dilihat akan membawa implikasi positif dan besar dari segi liputan serta penerimagunaan perkhidmatan tersebut, kata Fahmi Fadzil.

Menteri komunikasi itu juga memaklumkan kadar penerimagunaan 5G di negara ini telah mencecah hampir 36% setakat pertengahan bulan ini, manakala kadar liputan perkhidmatan itu telah mencapai 80.3% pada Februari.

Ia merupakan pencapaian yang baik memandangkan penerimagunaan 5G sebelum ini agak rendah iaitu sekitar 12% hingga 15% sahaja pada November 2023, katanya menurut laporan Bernama.

“Jadi dalam tempoh cuma lima, enam bulan kita telah berjaya meningkatkan daripada 15% lebih kurang ke lebih 35%... hampir 36% sekarang. Jadi saya lihat ramai yang memanfaatkan (rangkaian 5G) terutama pakej-pakej 5G yang disediakan.

“Saya juga baru-baru ini telah meminta supaya pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) meneliti supaya kita boleh mempertimbang adakan perbincangan dengan penyedia perkhidmatan rangkaian 5G untuk menyediakan pakej 5G bagi mahasiswa,” katanya kepada pemberita di Padang Besar hari ini.

Pada masa yang sama, Fahmi berkata kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan untuk melihat beberapa perkara bagi membantu menyediakan Internet lebih murah dan pantas di sekolah seluruh negara.

DNB ialah syarikat tujuan khas ditubuhkan pada 2021 di bawah Kementerian Kewangan dan kini sebagai pemilik tunggal rangkaian spektrum 5G.

Disember lalu, lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) memeterai perjanjian langganan saham (SSA) bagi memegang kepentingan dalam DNB, sekali gus mengukuhkan lagi infrastruktur 5G di Malaysia.

Melalui pemeteraian SSA itu, tertakluk kepada penilaian wajar akan membolehkan lima MNO itu memiliki 70% pegangan saham dalam DNB secara kolektif atau 14% pegangan saham secara individu.

Pada 3 Mei lalu, kerajaan umum akan memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui satu entiti baharu yang akan diwujudkan pada awal 2024 serta menukar model pelaksanaan 5G ketika ini daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian. – 26 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen