Larangan pamer rokok, vape cabaran kepada kami, kata peniaga


LARANGAN pamer rokok dan produk vape hanya akan menambah beban kewangan yang besar kepada kedai runcit, kata persatuan mereka hari ini.

Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) berkata walaupun ia memahami matlamat kerajaan adalah untuk tidak menggalakkan tabiat merokok dan vape, langkah sebegitu bagaimanapun juga akan menimbulkan kesan kepada mereka.

Persatuan itu merujuk kepada perbincangan baru-baru ini mengenai cadangan Kementerian Kesihatan mengenai potensi pembungkusan biasa dan pengharaman paparan rokok dan produk vape di kedai sebagai sebahagian daripada Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Persatuan itu menggesa kerajaan mengadakan perundingan mengenai langkah yang dicadangkan.

“Larangan pameran akan memerlukan peruncit mengeluarkan kos untuk membuat pelarasan di kedai bagi mematuhi peraturan. Ini akan menjadi beban kewangan tambahan yang besar bagi kami dan kami tidak mampu untuk menanggung kosnya,” kata presiden persatuan Hong Chee Meng dalam satu kenyataan hari ini.

“Ia juga merumitkan operasi runcit. Memandangkan pengendali runcit perlu membuat pelarasan untuk melindungi produk dan mengelakkannya daripada dilihat, ini bermakna setiap kali pengguna datang untuk membeli produk, pengendali runcit perlu mencari produk untuk diurus niaga.

“Ini akan menjadi lebih teruk dengan keperluan pembungkusan biasa di mana setiap produk akan kelihatan sama dari segi warna dan bentuk, menjadikannya lebih rumit bagi pengendali runcit untuk mencari jenama atau produk tertentu apabila pengguna memintanya,” tambahnya.

Persatuan itu berkata kerajaan mesti menangani isu rokok haram yang menyebabkan peningkatan kadar merokok di Malaysia.

“Daripada mencetuskan idea mengharamkan paparan produk dan memperkenalkan keperluan pembungkusan biasa, kementerian harus mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha rokok haram untuk mengurangkan kadar merokok.

“Sebab sebenar ramai rakyat Malaysia masih merokok adalah kerana rokok haram yang dijual pada harga yang sangat murah dan mudah didapati,” kata Hong.

Hong juga berkata persatuan itu telah menulis dua kali kepada Kementerian Kesihatan untuk meminta mesyuarat dan maklumat berkaitan langkah yang dicadangkan mereka.

“Tetapi sehingga kini, kami tidak menerima sebarang notis daripada kementerian untuk mengadakan sebarang perbincangan. Adalah tidak wajar bagi pengendali runcit yang merupakan barisan hadapan dan paling terkesan dengan langkah-langkah yang dicadangkan ini untuk tidak mempunyai butiran mahupun maklumat mengenai pelaksanaannya.”

Beliau berkata bahawa peraturan sedemikian menimbulkan cabaran serius kepada pemilik perniagaan runcit, yang sudah menghadapi tekanan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kami ingin menjelaskan dengan jelas bahawa pengendali runcit tidak bertentangan dengan matlamat kementerian untuk menghasilkan peraturan yang tidak menggalakkan merokok atau vape. Tetapi peraturan itu perlu waras, berkesan dan seimbang supaya ia boleh dikuatkuasakan tanpa kesan yang ketara kepada operasi runcit,” tambahnya. – 24 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen