Biar SPRM siasat anak saya, kata MB Perlis


Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata beliau serahkan kepada SPRM untuk siasat anaknya yang ditahan reman hari ini berhubung kes tuntutan palsu. – Gambar Facebook, 24 April, 2024.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjalankan siasatan terhadap anak saya dan lima individu lagi yang ditahan hari ini, kata Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Mereka ditahan reman untuk dua hari susulan tuduhan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000 berhubung kontrak kerja awam kerajaan.

Shukri yang juga pesuruhjaya PAS Perlis berkata beliau tidak akan masuk campur dan menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat anak lelakinya itu.

Bekas pendidik itu turut berkata Pejabat Menteri Besar dimaklumkan berhubung penahanan itu.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Kangar membenarkan anaknya dan lima individu lain, termasuk seorang pegawai kanan kerajaan negeri, ditahan reman dua hari oleh SPRM.

Suspek yang ditahan berusia antara 27 hingga 37 tahun dan dikehendaki membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaikpulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022 hingga hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM di mana hukuman penjara 20 tahun maksimum dan denda minimum RM10,000 atau lima kali ganda jumlah rasuah boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata orang ramai tidak sepatutnya membuat andaian berkenaan penahanan itu sehingga SPRM selesai siasatan.

Katanya, penahanan itu adalah contoh menunjukkan kerajaan perpaduan tidak akan bertoleransi dengan rasuah, termasuk individu yang ada kaitan dengan VIP. – 24 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen