KL20 mengecewakan, kata pengasas 'startup' teknologi Malaysia


Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut hadir dan menyampaikan ucapan pada sidang kemuncak KL20 yang berlangsung dua hari sejak semalam di Kuala Lumpur. – Gambar Facebook, 23 April, 2024.

SIDANG kemuncang KL20 mengecewakan dan langsung tidak menawarkan faedah kepada syarikat permulaan tempatan (startup), menurut inovator syarikat permulaan teknologi.

Pengasas Vidola Titans, Vishnu Kanth menerusi media sosial Linked In berkata tidak ada faedah diberikan kepada syarikat permulaan di persidangan itu.

KL20 sebelum ini berkata perhimpunan itu bermatlamat untuk menjadi detik penting dalam perjalanan Malaysia untuk menjadi kelompok 20 teratas syarikat permulaan global menjelang 2030.

“Saya tiba di KL20 hari ini pada 7.30 pagi untuk elak kesesakan lalu lintas dan berada di sana hingga 5 petang. Saya mendengar semua dialog, pembentangan dan perbincangan ahli panel.

“Saya tidak nampak faedah untuk syarikat permulaan tempatan di KL20,” katanya semalam, iaitu hari bermulanya sidang itu.

Katanya, apa yang dibincangkan dalam semua pembentangan di situ adalah “berbilion pelaburan”.

“Tetapi mereka labur di mana?,” katanya.

Vishnu yang bekerja di syarikat multinasional Fortune 500 selama 23 tahun dalam bidang penyelenggaraan dan kejuruteraan, memulakan syarikat Vidola Titan dengan tujuan membantu mengubah perjalanan kerjaya TVET dan ekonomi gig dengan meminimumkan kebergantungan kepada buruh warga asing.

Katanya, sudah bertahun beliau cuba mendapatkan jawapan daripada jabatan kerajaan, tetapi masih belum dapat.

“Saya datang dengan penuh semangat dan teruja untuk dapat peluang berkongsi idea dan produk tetapi malangnya KL20 adalah untuk pelabur dan pengasas luar negara.”

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam posting di platform media sosial yang sama berkata beliau memberitahu pengasas dan pelabur terbaik dalam ekonosistem syarikat permulaan pada satu majlis makan malam tertutup, Malaysia mengambil pendekatan berbeza terhadap syarikat permulaan.

“Kami sedang melakukan perubahan dasar borong, kami menawarkan insentif  dan akan mengumumkannya kepada dunia,” katanya.

Beliau menyifatkan makan malam itu sebagai “jarang berlaku” kerana ia turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan empat menteri lain. – 23 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen