Jangan bicara soal politik, Fahmi gesa Muhyiddin bawa balik menantu dahulu


Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil mahu Muhyiddin Yassin bekerjasama dengan pihak berkuasa membawa pulang menantunya, Muhammad Adlan Berhan untuk dibicarakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2024.

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin tidak layak membuat kenyataan berhubung hal ehwal semasa negara termasuk isu politik, kata Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata ini susulan kegagalan Muhyiddin bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mendesak menantunya, Muhammad Adlan Berhan, pulang dan menghadapi pertuduhan jenayah pecah amanah jenayah.

“Jangan cakap mengenai Kuala Kubu Baharu atau PRK (Pilihan Raya Kecil). Bawa pulang menantu anda dulu, kemudian baru anda berada di kedudukan yang lebih baik untuk bercakap mengenai apa-apa sahaja, kerana dia (menantu Muhyiddin) sedang melarikan diri daripada undang-undang.

“Sepatutnya sebagai pemimpin, beliau (Muhyiddin) seharusnya menjadi contoh yang baik untuk mengarahkan menantu beliau balik ke Malaysia dan berdepan dengan siasatan yang telah dimulakan.

“Jika gagal lakukan perkara asas ini, maka saya rasa beliau tiada ‘moral standing’ untuk bercakap mengenai apa-apa sahaja,” Fahmi dilaporkan berkata dalam laporan Bernama.

Menteri komunikasi itu mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendakwa kerajaan campuran hampir berpecah kerana “konflik” antara pemimpin Pakatan Harapan dan Barisan Nasional berhubung dakwaan titah adendum bekas perdana menteri Najib Razak dalam permohonan tahanan rumahnya.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 11 Mei, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 27 April dan 7 Mei. – 22 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen