Shahira tamat khidmat pengarah urusan Yayasan Hasanah


Shahira Ahmed Bazari akan mengakhiri perkhidmatannya sebagai pemegang amanah dan pengarah urusan Yayasan Hasanah berkuatkuasa 1 Mei. – Gambar Yayasan Hasanah, 19 April, 2024.

SHAHIRA Ahmed Bazari akan mengakhiri perkhidmatannya sebagai pemegang amanah dan pengarah urusan Yayasan Hasanah berkuatkuasa 1 Mei selepas sembilan tahun memegang jawatan itu.

Beliau akan memegang jawatan baharu dalam Khazanah Nasional Berhad. 

Yayasan Hasanah berkata pengarah urusan baharu akan diumumkan tidak lama lagi.

Yayasan itu yang juga cabang kebajikan Khazanah Nasional, berkata sumbangan Shahira memberi kesan besar ke seluruh negara menerusi lima fokus Yayasan Hasanah.

Katanya, ketika kemuncak pandemik Covid-19, Shahira dan pasukannya yang menyelia kerjasama –awam-swasta-dermawan menghasilkan rekod besar dalam mengumpul dana dan membiayai golongan yang memerlukan.

Di bawah kepimpinan Shahira, Yayasan Hasanah mengagihkan RM1.5 bilion geran kepada lebih 700 projek di seluruh negara, menjangkau 2.9 juta rakyat negara ini.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam mengubah ekosistem kesan sosial Malaysia dengan pendekatan berpandangan ke hadapan dalam kedermawanan, pelaburan sosial, pengukuran impak dan pelbagai model inovasi sosial.

“Shahira memberi kesan besar kepada Yayasan Hasanah. Kepimpinannya dan dedikasi adalah bukti pencapaian Yayasan Hasanah,” kata Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Hasanah Md Nor Yusof.

“Yayasan ini berkembang daripada unit CSR Khazanah kepada institutsi dermawan yang dikenali. Kami ucapkan selamat berjaya kepadanya.” – 19 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen