Kerajaan perlu henti ‘beli undi’ menjelang PRK KKB, kata Bersih


PRK KKB akan diadakan pada 11 Mei susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong daripada DAP/Pakatan Harapan, pada 21 Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2024.

PERUNTUKAN kerajaan sebanyak RM5.21 juta di Hulu Selangor termasuk projek di Kuala Kubu Baharu (KKB), boleh dianggap sebagai cubaan membeli undi menjelang pilihan raya kecil (PRK) di situ, kata badan pemantau pilihan raya Bersih.

Bersih berkata peruntukan itu melanggar etika pilihan raya yang adil dan bersih.

Ia menggesa kerajaan menghentikan amalan tidak beretikan itu di mana ia bercanggah dengan prinsip pertandingan politik di peringkat pilihan raya.

Bersih merujuk kepada pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming semalam iaitu RM5.21 juta peruntukan diberikan untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur awam di bawah seliaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Projek Kampung Baharu Cina.

Menteri itu berkata peruntukan itu termasuk 14 projek bernilai RM4.82 juta akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan dan Majlis Pengurusan Masyarakat Kampung.

“Nga turut menggesa penduduk kampung mengundi parti yang baik, prihatin dan progresif, tetapi tidak menyebut mana-mana nama.

“Peruntukan khas kepada KKB ini dilihat melanggar prinsip ‘tidak berkempen’ yang ada kaitan dengan peruntukan kerajaan untuk sokongan politik.

“Tindakan ini boleh dianggap sebagai usaha membeli undid an menggunakan pengaruh kerajaan terhadap pengundi KKB yang akan keluar mengundi pada 11 Mei,” kata jawatankuasa pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Bersih berkata tindakan kerajaan melanggar etika pilihan raya bersih dan adil akan menghakis keyakinan rakyat, terutama pengundi, terhadap sistem pilihan raya dan proses demokrasi negara.

“Bersih tekankan sekali lagi betapa perlunya garis panduan yang komprehensif diwujudkan berkaitan etika bukan peruntukan dan kerajaan sementara ketika tempoh pilihan raya, yang bermula sebaik saja pembubaran Parlimen atau sidang dewan undangan negeri, atau kekosongan kerusi,” katanya.

Kumpulan itu berkata ia akan menghantar pegawai pemantau pilihan raya ke KKB bagi memastikan tiada pelanggaran etika berlaku.

PRK KKB akan diadakan pada 11 Mei susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong daripada DAP/Pakatan Harapan, pada 21 Mac.

DAP dijangka bertanding sekali lagi dan akan mengumumkan calonnya tidak lama lagi sementara Gerakan daripada Perikatan Nasional (PN) dijangka mewakili pakatan itu.

Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding untuk memberi laluan kepada sekutunya, PH. Ini menyebabkan parti komponen BN, MCA yang sudah sekian lama bertanding kerusi itu, meluahkan rasa kecewa dan berkata ia tidak akan berkempen untuk PH. – 19 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen