Peluang menang lebih cerah di KKB jika calon Melayu, kata Perikatan


PN berharap Gerakan akan meletakkan calon Melayu di PRK Kuala Kubu Baharu, kata Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2024.

JIKA Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk memberi laluan kepada Gerakan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB), parti itu diharap dapat meletakkan calon Melayu, kata Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor.

Bercakap kepada wartawan di Alor Setar hari ini, menteri besar Kedah itu berkata daripada maklum balas yang diterima, peluang untuk menang lebih tinggi jika PN meletakkan calon Melayu.

“Memang betul calon sebelum ini daripada Gerakan tetapi ada yang minta jika PN akan kekalkan Gerakan (untuk bertanding), kita patut letak calon Melayu.

“Dengan itu, peluang lebih cerah untuk kita menang PRK ini,” katanya.

Beliau juga optimis untuk menang kerusi itu daripada Pakatan Harapan (PH).

“Kita perlu mula berperang dulu, baru kita akan tahu (hasilnya).

“Corak mengundi berubah dengan ketara sejak akhir-akhir ini dan saya harap PN akan menang.

“Rakyat marah dengan kenaikan harga barang, kejatuhan nilai ringgit dan pelbagai isu lagi.

“Saya harap pengundi akan menggunakan PRK ini untuk menghantar mesej kepada kerajaan,” katanya.

PRK KKB diadakan susulan kematian Adun Lee Kee Hiong daripada DAP yang memegang kerusi itu selama tiga penggal. Lee meninggal dunia pada 21 Mac kerana kanser.

Hari mengundi ditetapkan 11 Mei. Hari penamaan calon pada 27 April dan mengundi awal 7 Mei.

Bagi PH, DAP masih belum memutuskan siapa calon akan diletakkan pada PRK itu, kata setiauasaha agung parti Anthony Loke.

Loke berkata “sesiapa pun akan dipertimbangkan” ketika mengulas berkenaan laporan parti itu mungkin meletakkan calon Melayu.

Pada Rabu, dilaporkan DAP mungkin akan meletakkan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Hulu Selangor Saripah Bakar sebagai calon di KKB.

“Parti itu dijangka meletakkan calon Melayu berikutan peratusan pengundi Melayu yang tinggi di kawasan itu,” kata sumber dilaporkan FreeMalaysiaToday.

Saripah meminta media untuk menunggu pengumuman rasmi.

Kawasan KKB mempunyai pengundi bercampur terdiri daripada 50% Melayu, 30% Cina dan 18% Indian.

Menurut daftar pemilih, terdapat lebih 40,000 pengundi berdaftar di KKB.

Barisan Nasional, kali ini tidak akan bertanding untuk memberi laluan kepada DAP.

Gerakan memberi isyarat ia berminat untuk bertanding di KKB.

Pada pilihan raya negeri tahun lalu, Gerakan bertanding di kawasan itu atas tiket PN. – 18 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen