KWSP umum Akaun 3 akhir bulan, kata laporan


KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal memperkenalkan akaun ketiga yang akan membolehkan pencarum mengeluarkan wang bagi tujuan kecemasan, lapor The Star.

Akhbar yang memetik sumber, berkata akaun baharu itu - yang akan dipanggil Akaun 3 atau akaun fleksibel, dijangka diumumkan pada akhir April.

Di bawah skim itu, Akaun 1 akan dinamakan semula Akaun Persaraan dan Akaun 2 sebagai Akaun Sejahtera.

Akaun baharu itu juga akan digunakan oleh ahli yang berumur di bawah 55 tahun.

Pada masa ini, di bawah sistem dua akaun, ahli yang berumur di bawah 55 tahun akan mempunyai 70% daripada sumbangan mereka masuk ke dalam Akaun 1 manakala 30% ke dalam Akaun 2.

Dengan akaun baharu, caruman akan dibahagikan dengan 75% dimasukkan ke dalam Akaun 1, 15% ke dalam Akaun 2 dan 10% ke dalam Akaun 3.

“Ahli boleh memilih untuk memindahkan dana daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel melalui mekanisme mengikut pilihan itu,” kata sumber itu.

“Ahli diberi masa sehingga 31 Ogos 2024, untuk memilih bagi jumlah permulaan dalam Akaun Fleksibel,” tambah sumber itu.

Bagaimanapun ahli juga dibenarkan untuk tidak memindahkan sebarang amaun ke dalam Akaun 3. Bagi kes sedemikian, baki mereka akan bermula dari sifar sehingga caruman baharu dikreditkan.

“Simpanan daripada akaun fleksibel boleh dikeluarkan oleh ahli pada bila-bila masa, dengan jumlah pengeluaran minimum ialah RM50.”

KWSP berkata tahun lepas Akaun 3 akan berfungsi seperti akaun simpanan, dan ahli boleh mengeluarkan simpanan mereka pada bila-bila masa. – 17 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen