Aktivis selar hujah Raja Petra tangani ketegangan kaum, agama


Desmond Davidson

KUMPULAN sivil Sarawak dan Sabah mengecam pendapat Raja Petra Kamaruddin yang ketegangan kaum dan agama akan berkurangan jika setiap orang bukan Melayu/ Islam menerima Malaysia adalah “Tanah Melayu” dan bukannya negara sekular.

Dalam satu kenyataan bersama, Borneo Plight in Malaysia Foundation dan Gindol Initiative for Civil Society Borneo berkata tinjauan yang mereka lakukan mendapati kebanyakan rakyat Sabah dan Sarawak lebih senang jika tiada agama rasmi di negeri masing-masing.

Voon Lee Shan, presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) turut menandatangani kenyataan itu.

Mereka berkata penulis blog dalam buruan itu, yang lebih dikenali dengan RPK, silap mendakwa ketegangan kaum dan agama yang semakin meningkat di negara ini boleh ditamatkan jika setiap orang bukan Melayu/Islam menerima kenyataan dibuatnya dalam temu bual dengan portal Focus Malaysia pada 10 April.

“Bukan niat kami mempunyai agama rasmi sebelum Malaysia ditubuhkan. Islam dijadikan agama rasmi kerana Perlembagaan Tanah Melayu diterima pakai atau dijadikan Perlembagaan Malaysia selepas Singapura.

“Sabah dan Sarawak diambil alih untuk meluaskan Tanah Melayu pada 16 September 1963 sempena nama baharu Malaysia,” kata mereka.

Mereka mendakwa Malaysia juga “bukan negara baharu” walaupun Singapura, Sabah dan Sarawak dikatakan membantu pembentukannya.

“Malaysia tidak pernah dibentuk sama sekali, tetapi Malaysia adalah pembesaran Tanah Melayu yang mengambil nama baharu Malaysia mengikut rekod dalam Sekretariat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Sebab itu juga rakyat Sabah dan Sarawak berasa tidak senang apabila Raja Petra Kamarudin berkata keamanan akan wujud lebih baik di Malaysia jika rakyat Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak menerima Islam, dijadikan taraf lebih tinggi dan menerima Malaysia bukannya negara sekular.”

Mereka berkata terdapat sentimen yang semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia Timur yang mereka akan lebih gembira jika Sabah dan Sarawak bebas daripada Malaysia. – 16 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen