Malaysia alukan tawaran Pakistan bekal daging halal


Malaysia kini mengimport daging lembu dari India, Australia, New Zealand, AS dan Argentina.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2024.

MALAYSIA dan Pakistan bersetuju untuk meneroka peluang bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ini termasuk mempertimbangkan cadangan Pakistan untuk mengeksport daging halal ke Malaysia.

Anwar berkata rakan sejawatnya dari Pakistan Shehbaz Sharif menyampaikan perkara itu semasa panggilan telefon semalam.

“Menerusi perbualan telefon tersebut, kami senada mahu meneroka ruang untuk memperhebatkan hubungan Malaysia-Pakistan terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

“Saya juga menyambut baik cadangan PM Shehbaz bagi mengeksport daging halal dari Pakistan ke Malaysia,” katanya dalam catatan Facebooknya hari ini.

Malaysia kini mengimport daging lembu dari India (daging kerbau), Australia, New Zealand, AS dan Argentina.

Tambahnya, Shehbaz turut memuji pendirian Malaysia dalam isu di Palestin.

“Selain itu, kami turut membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa termasuk situasi di Gaza dan Afghanistan,” katanya.

Shehbaz juga mengulangi pelawaannya kepada Anwar untuk melakukan lawatan rasmi ke Pakistan secepat mungkin.

Kedua-dua pemimpin itu turut bertukar-tukar ucapan Hari Raya Aidilfitri.– 11 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen