Syarikat Brunei cadang projek kereta api berkelajuan tinggi rentasi Borneo


Gambar hiasan. Sebuah syarikat Brunei mencadangkan projek rangkaian kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan negara itu dengan Malaysia dan Indonesia membabitkan laluan sepanjang 1,600km merentasi kepulauan Borneo. – Gambar Wikipedia, 7 April, 2024.

SEBUAH syarikat berpangkalan di Brunei mencadangkan projek rangkaian kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan negara itu dengan Malaysia dan Indonesia membabitkan laluan sepanjang 1,600km merentasi kepulauan Borneo, lapor Nikkei Asia.

Projek itu bertujuan untuk meningkatkan ketersambungan pengangkutan sekali gus pembangunan ekonomi di rantau ini.

Brunergy Utama dipetik Nikkei Asia sebagai berkata, fasa pertama Trans-Borneo akan mengubungkan bandar dari pantai barat ke pantai timur bermula di Pontianak, Kalimantan Barat ke Kuching, Kota Kinabalu hingga ke daerah Tutong, Brunei.

Fasa kedua pula menghubungkan Tutong dengan wilayah Kalimantan Utara dan Kalimantan Timur, Indonesia termasuk bandar Samarinda dan Balikpapan dan akhirnya di ibu kota baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan. 

Laporan Nikkei Asia menyebut projek tersebut dianggarkan menelan kos AS$70 bilion.

Menurut laporan itu lagi, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menyambut baik cadangan projek berkenaan kerana ia bakal menjadi pemangkin ekonomi bagi wilayah Borneo.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata kementeriannya telah menerima cadangan awal mengenai projek itu pada November tahun lepas.

Katanya, kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan kewangan khusus untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan laluan Kereta Api Trans Borneo melibatkan bahagian Sarawak-Sabah.

Bagaimanapun, Premier Sarawak Abang Johari Openg dilaporkan berkata kerajaan negeri belum dimaklumkan secara rasmi mengenai cadangan projek tersebut.

Kerajaan Brunei pula dilaporkan tidak ada menawarkan atau melantik sebarang syarikat tempatan atau antarabangsa untuk melaksanakan projek Kereta Api Trans-Borneo.

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi negara itu dalam satu kenyataan berkata tiada perbincangan mengenai projek itu di peringkat kerajaan, termasuk antara negara dan pihak berkepentingan, lapor Bernama.

“Untuk projek berskala sebesar itu, ia sememangnya memerlukan komitmen daripada setiap kerajaan terlebih dahulu,” kementerian itu dipetik sebagai berkata. – 7 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen