SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat empat pemilik akaun Facebook yang disyaki menyebarkan kandungan palsu berhubung penganjuran majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 2024.
Dalam satu kenyataan, SKMM berkata semua data yang dimuat naik oleh individu terbabit direkodkan sebagai bahan bukti untuk siasatan.
Beberapa lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
SKMM menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan kandungan tidak sahih atau palsu.
Dakwaan berkenaan Malaysia tidak lagi menganjurkan majlis Tilawah Al-Quran tetapi lebih fokus kepada mengadakan konsert, tular di Facebook dan akaun X sejak beberapa hari lalu.
Dakwaan itu dinafikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Hasan pada Rabu lalu, berkata majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 2024 dijadualkan pada 23 Mei hingga 28 Mei di Kuantan, Pahang.
Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa dijadualkan pada 5 hingga 12 Oktober. – 6 April, 2024.
Komen