Ibu Nhaveen akhirnya terima status terkini rayuan kes bunuh anak


Shanti Dorairaj dan Pengerusi Liga Tindakan & Siasatan Nhaveen, Arun Dorasamy (kanan) memaklumkan kepada pemberita mengenai status kes T Nhaveen di luar bangunan AGC, Putrajaya, hari ini. – Gambar Facebook, 5 April, 2024.

SHANTI Dorairaj, ibu kepada T Nhaveen yang maut dipukul oleh sekumpulan lelaki pada 2017, akhirnya mendapat maklumat terkini daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai status kes itu.

Pengerusi Liga Tindakan & Siasatan Nhaveen (NAIL), Arun Dorasamy memberitahu pemberita hari ini yang AGC memaklumkan notis rayuan sudah diserahkan kepada lima lelaki berhubung pelepasan dan pembebasan mereka oleh Mahkamah Tinggi di George Town.

Arun berkata AGC memberi jaminan kepada Shanti dan peguamnya untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan rayuan diteruskan.

“Notis rayuan sudah diserahkan kepada peguam tertuduh,” kata Arun di luar AGC di Putrajaya hari ini.

The Malaysian Insight melaporkan pagi ini yang Shanti ingin mengadakan mogok di AGC susulan kegagalan pihak berkuasa memberikan jawapan kepadanya.

Beliau mahu AGC memberitahu status rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan lima lelaki itu pada Oktober.

Arun berkata seorang pegawai dari Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC menemui mereka selama kira-kira 40 minit.

Kira-kira 100 orang berkumpul bagi memberi sokongan kepada Shanti pagi tadi.

Arun juga berkata pegawai itu memaklumkan yang pihak pendakwaan sedang menunggu Mahkamah Tinggi George Town menghantar rekod rayuan sebelum ia boleh diteruskan.

Ia sudah menerima alasan penghakiman daripada Mahkamah Tinggi, tambahnya.

“Selepas mereka menerima rekod rayuan daripada mahkamah, mereka memerlukan kira-kira 10 hingga 12 hari untuk memfailkan petisyen rayuan jika mereka mempunyai alasan mencukupi untuk meneruskan rayuan.

“Tetapi saya diberi jaminan mereka akan melakukan segala yang boleh untuk meneruskannya (rayuan),” katanya.

Pada 3 Oktober, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan lima individu yang dituduh membunuh Nhaveen, yang ketika itu berusia 18 tahun.

Dalam keputusannya, Hakim Radzi Hamid berkata “terdapat kelemahan besar dalam kes pendakwaan terhadap tertuduh, dan dengan itu gagal membuktikan kes prima facie”.

AGC memfailkan notis rayuan tetapi tidak memberikan sebarang berita mengenainya sejak itu.

Dilaporkan Nhaveen dibelasah lima pemuda ketika membeli burger pada waktu malam di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor.

Rakan Nhaveen, yang bersamanya, melarikan diri.

Nhaveen kemudian ditemui di padang, dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan parah, termasuk melecur di bahagian belakang tubuh dan tanda-tanda objek tumpul ditusuk ke dalam duburnya. Beliau kemudian meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya. – 5 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen