Hari Al-Quds untuk Palestin yang paling relevan


Faisal Tehrani

DALAM tahun 1980, pemimpin besar Iran, iaitu Imam Khomeini telah membuat satu tindakan dan aksi futuristik dengan mengisytiharkan Jumaat terakhir Ramadan sebagai Hari Al-Quds.

Pengisytiharan ini adalah sebagai tanda solidariti umat menentang rejim Zionis dan untuk membela maruah dan hak rakyat Palestin.

Saban tahun, selama 43 tahun lamanya walaupun Imam Khomeini kemudian meninggal dunia dalam tahun 1989, rakyat Iran akan membanjiri jalan raya di kota-kota seluruh republik itu untuk menunjuk perasaan.

Mereka akan membawa sama sepanduk, poster, bunting dan memijak bendera negara haram Israel. Pada hari tersebut, sebelum dan setelah sembahyang Jumaat, perasaan dan kenangan umat dibakar untuk sentiasa mengenang akan Palestin.

Hal ini memang tidaklah sulit memandangkan Iran, dengan mazhab rasminya Syiah adalah sebuah mazhab yang tunjangnya penegakan memori. Dengan memori atau kenangan, yang sentiasa diulang-ulang dan diperi-ingatkan kembali, tragedi pembunuhan Saidina Hussein cucu Nabi di Karbala ribu tahun lalu misalnya kekal segar dalam benak mereka, hatta dihayati generasi baru.

Iran ingin melakukan pendekatan yang sama dengan Palestin iaitu membakar ingatan dan kenangan umat menerusi Hari Al-Quds ini.

Setiap tahun umat akan diberi kenyataan-kenyataan segar, bersandarkan kejadian dan tragedi lampau untuk memikirkan kembali letak duduk Palestin.

Hal ini memang sangat penting untuk Iran, kerana dalam dasar monoteisme masyarakat Syiah, hubungan Palestin dan Imam Mahdi iaitu Imam terakhir dalam mazhab Syiah amat kuat. Imam Mahdi diketahui akan membebaskan Palestin. Justeru misi memerdekakan Palestin, pasti datang sekali dengan penjelmaan semula pemimpin atau penyelamat mereka.

Sebab kukuh kedua Imam Khomeini membakar perasaan umat dengan Hari Al-Quds adalah kerana tujuan utama penubuhan Republik Islam Iran ialah untuk menidakkan Israel. Ini kerana Iran sebelum 1979, iaitu Iran yang di bawah Shah Iran memiliki hubungan erat dengan Israel.

Yang mana regim Zionis ini bertanggungjawab membantu Shah menyediakan polis rahsia Savak yang diketahui kejam dan zalim terhadap mereka yang antiraja Iran dalam tahun 1970-an itu. Ini bermakna misi membebaskan Palestin dalam minda Khomeini bukan sahaja kerana tauhid, tetapi juga merupakan satu gerak kerja kenegaraan untuk melindungi Iran dari musuh terbesar penubuhan negara itu; Israel.

Dalam erti kata lain, Hari Al-Quds menjadi gerakan serampang dua mata untuk mempertahankan Palestin dan dalam masa yang sama menekan Zionis untuk melepaskan Palestin.

Dalam tempoh lapan ke sembilan tahun selepas mengisytiharkan Hari Al-Quds ini, Imam Khomeini membakar perasaan umat dengan pelbagai aneka ucapan untuk mengingatkan mereka hak dan juga kehormatan bangsa Palestin.

Bahkan sebelum pun Hari Al-Quds ini dimasyhurkan, Khomeini telah menyatakan pembangkangan umat di Iran yang diketuai kaum ulama terhadap Shah ialah lantaran Shah memilih untuk menjual hasil minyak Iran ke Israel. Bukan itu sahaja, Savak pula menerima bekalan staf dari Israel untuk memadamkan gerakan revolusi 1979. Maka kebencian Iran terhadap Israel bersebab kukuh.

Dalam banyak-banyak ucapan Imam Khomeini beliau sering mengingatkan agar tiada negara umat Islam menjalinkan hubungan (baik politik mahupun ekonomi) dengan Israel. Seruan-seruan kental Khomeini sering mensasarkan kepada kemuflisan moral dalam kalangan umat yang terhegeh-hegeh ingin bermesraan dengan Zionis.

Malah salah satu ucapan al-Marhum Imam Khomeini yang paling terkenal mengenai Palestin adalah, “Jika orang Islam bersatu, dan tiap dari mereka menyimbah sebaldi air ke atas Israel, ia akan hanyut.”

Imam Khomeini juga berulang-ulang menegaskan yang Israel adalah musuh bersama umat Islam, dengan turut menamakan Amerika sebagai “mereka yang ingin menghancurkan kehormatan, dan sumber, dan menjajah kita.”

Untuk negara umat Islam yang menghindar diri dan enggan terlibat dalam isu Palestin, atau bersikap membisu, Khomeini mengkhabarkan begini; “Nantikan satu masa kalian yang berdiam diri berdepan dan melihat jenayah Israel ini kelak dipukul pula oleh Israel.”

Setelah enam bulan Palestin (lebih khusus di Gaza) diinjak, dunia kini dapat melihat semua yang dibabadkan Imam Khomeini itu ada dalam bingkai kenyataan. Imam misalnya telah menghujahkan yang Amerika dan Israel itu berkembar dalam melakukan kejahatan.

Amerika tanpa silu sedikit pun bersekutu dengan Israel untuk melakukan genosid terhadap umat Palestin. Ucapan Imam yang memberi amaran agar tidak berniaga dengan Israel juga ada kebenarannya. Hari ini ada negara yang pura-pura lantang menolak Israel, di belakang pintunya ikut berdagang dengan Tel Aviv.

Terdapat banyak kejadian malang menimpa Gaza sejak enam bulan lalu, misalnya serangan terhadap rakyat Palestin yang sedang mendapatkan makanan seperti tepung, atau pengepungan Hospital as-Shifa yang mana terdokumentasi kegilaan regim Zionis membunuh sewenangnya.

Minggu ini juga menyaksikan pembunuhan bersasar tujuh orang sukarelawan World Central Kitchen dari negara-negara Barat termasuk Kanada, Britain dan Australia oleh Israel.

Seruan Imam Khomeini agar umat memboikot produk Israel, dan rakannya Amerika juga menjadi semarak hari ini berhulukan gerakan Hari Al-Quds. Rupa lain seruan pulau Khomeini itu kini menjadi gelombang menerusi gerakan Boycott, Divestment and Sanctions atau BDS.

Tahun ini, Hari Al-Quds tentu sahaja berbeza. Ini kerana Ramadan ini menyaksikan Palestin paling berdarah sekali ekoran genosid dan pembunuhan lebih 30,000 rakyat Palestin tanpa dunia melakukan apa-apa. Memang ada usaha kecil misalnya dari Afrika Selatan untuk mengheret Zionis ke muka pengadilan antarabangsa, akan tetapi ia tidak memadai dan setiap hari masih ada tragedi yang kejam ditimpakan terhadap rakyat Palestin.

Di Malaysia, Hari Al-Quds pernah dijadikan agenda tahunan oleh parti PAS. Akan tetapi hari ini PAS seakan tidak lagi mempedulikan Palestin. Sebaliknya Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) yang akan menganjurkan himpunan Hari Antarabangsa Al-Quds pada 5 April ini (Jumaat terakhir Ramadan). Menurut jurucakap SSP, Tian Chua, himpunan tersebut adalah sebagai tanda solidariti bagi perjuangan pembebasan Palestin.

Di seluruh dunia, umat manusia bangkit dengan penuh sedar akan keiblisan Israel. Di London misalnya berjuta-juta orang turun membantah Israel setiap kali demonstrasi.

Sepatutnya di Malaysia, sambutan Hari Al-Quds tidak boleh suam-suam kuku. Sebaliknya, umat lebih terbuai dengan fitnah konon tahun ini tiada Musabaqah Tilawah al-Quran. Atau terheret melatah isu stoking yang dijahitkan nama Allah. Padahal musuh paling nyata di hadapan ialah Israel dan sekutunya.

Tambah-tambah warga Israel kini sudah menyusup ke dalam negara. Lebih dukacita ada rakyat negara ini ikut serta menjadi ejen mereka.– 5 April, 2024.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen