BADAN pemantau alam sekitar Rimba Watch mahu kerajaan Selangor mendedahkan proses kelulusan pembangunan jalan dari Bandar Nusarhu ke Setia Alam, yang melalui hutan Bukit Cerakah.
Pengarahnya Adam Farhan berkata adalah penting untuk mengetahui sama ada penilaian kesan alam sekitar untuk projek itu telah diluluskan.
Adam berkata projek jalan sepanjang 1 kilometer itu akan memisahkan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) dari Taman Botani Negara Shah Alam, yang akan menjejaskan habitat haiwan hutan serta akses ke kawasan rekreasi.
Menurutnya tinjauan biodiversiti SACF menunjukkan tapir, ungka tangan putih dan harimau bintang, yang merupakan spesies dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, terdapat di kawasan itu.
Beliau berkata kejadian tapir dilanggar di jalan raya di kawasan Bukit Cerakah sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah didokumenkan dengan baik, yang mana paling terkini berlaku pada November 2023.
“Projek jalan raya ini bukan sahaja meletakkan spesies yang dilindungi di bawah ancaman daripada kejadian seperti itu pada masa hadapan, tetapi juga memutuskan hubungan habitat mereka dengan kompleks hutan Bukit Cerakah yang lebih luas, justeru mengurangkan saiz habitat mereka dan mempertaruhkan kelestarian kemandirian spesies di kompleks itu,” katanya.
Tambahnya status undang-undang SACF juga tiada kepastian kerana masyarakat tempatan telah memfailkan cabaran undang-undang terhadap kerajaan Selangor yang menolak pewartaan Hutan Simpan Bukit Cerakah.
Penyahwartaan itu diterbitkan pada 2022 tetapi dikuatkuasakan pada 2000, “yang merupakan proses penyahwartaan luar biasa”, tambahnya.
Persatuan Hutan Komuniti Shah Alam juga mahu negeri mengeluarkan arahan berhenti kerja berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan proses mahkamah masih belum selesai. Rimba Watch menggesa kerajaan Selangor menjelaskan apakah proses kelulusan bagi projek jalan ini dan adakah projek itu mendapat kelulusan penilaian kesan alam sekitar,” katanya.
Adam mempersoalkan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri pintar, boleh didiami dan makmur menjelang 2025.
“Bagaimana membina jalan melalui hutan yang ‘tidak terganggu’ sejajar dengan objektif sedemikian? Bagaimanakah kerajaan merancang untuk mengurangkan kesan kepada biodiversiti daripada projek ini?” – 4 April 2024.
Komen