Dewan perniagaan rayu henti boikot, serang KK Mart


ACCCIM merayu agar semua pihak menghentikan boikot dan serangan ke atas jaringan kedai runcit KK Mart. – Gambar Facebook, 2 April, 2024.

GABUNGAN Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) merayu agar semua pihak menghentikan boikot dan serangan ke atas jaringan kedai runcit KK Mart.

Presidennya Low Kian Chuan berkata boikot tidak perlu diteruskan kerana kes melibatkan jualan stoking tertera kalimah Allah melibatkan kedai terbabit sudahpun dibawa ke mahkamah.

“ACCCIM membantah sebarang tindakan melulu yang melampaui lunas undang-undang,  yang boleh menimbulkan kebimbangan dan ketidakstabilan dalam masyarakat.

“Tindakan yang melulu akan membawa kesan negatif kepada ekonomi dan perniagaan.

“Tindakan boikot yang membuta tuli bukan sahaja akan memberi kesan kepada syarikat terbabit, malah boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, boikot membawa imej negatif kepada negara dan menjejaskan usaha kerajaan menarik pelaburan.

Katanya lagi yang mengambil kesempatan ke atas isu tersebut sepatutnya sedar dengan amaran oleh Yang Di Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Baginda pada akhir bulan lalu menitahkan tindakan diambil mengikut undang-undang dan memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak terus mengapi-apikan kemarahan orang ramai.

Sebaliknya semua pihak perlu belajar dari insiden tersebut dan berusaha memperkukuh perpaduan terutama pemimpin komuniti, titah baginda.

Anwar juga pada masa itu memberi amaran supaya isu tersebut, termasuk gerakan memboikot rangkaian kedai terlibat tidak lagi diteruskan.

Isu seperti itu hanya akan menimbulkan permusuhan dan tidak perlu diperbesarkan lagi, katanya.

Boikot ke atas rangkaian KK Mart digerakkan Pemuda Umno melalui ketuanya Dr Akmal Saleh yang berikrar akan meneruskan kempen itu.

Beliau menegaskan demikian selepas tiga cawangan KK Mart diserang dengan bom petrol, masing-masing di Bidor, Perak, di Kuantan, Pahang dan juga di Kuching, Sarawak

Tindakan itu menyebabkan beliau dikecam para pemimpin gerakan pemuda dalam gabungan parti kerajaan sebagai tindakan pelampau yang mengapi-apikan sentimen agama.

Para pengasas kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd didakwa Selasa lalu atas tuduhan menyinggung perasaan umat Islam dengan jualan stoking kontroversi itu.

Dr Chai Kee Kan dan Loh Siew Mui serta tiga lagi individu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Turut didakwa di mahkamah sama adalah pemilik syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat yang membekal stoking berkenaan serta dua lagi dari syarikat itu, Goh Li Huay dan Soh Hui San.

Syarikat tersebut turut memohon maaf selepas gambar memaparkan produk stoking tertera kalimah Allah itu tular pada pertengahan Mac lalu. Jualan produk berkenan juga dihentikan serta-merta.

Siasatan dijalankan selepas puluhan laporan polis dibuat terhadap KK Mart serta kempen memboikot jaringan tersebut yang digerakkan Akmal. – 2 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen