Pendekatan keras Umno bakal makan diri, kata veteran politik


K. Kabilan

Pendekatan Umno yang ekstrem dan keras hanya akan menyebabkan pengundi bukan Melayu enggan sokong BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2024.

PENDEKATAN Umno yang ekstrem dan keras hanya akan menyebabkan pengundi bukan Melayu enggan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN), walaupun Pakatan Harapan (PH) mungkin bukan pilihan terbaik pada pilihan raya umum akan datang, kata veteran politik.

Mereka berkata pemimpin Umno seperti Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh antara pemimpin parti yang bertindak melampau dan akan menyebabkan gabungan itu hilang undi bukan Melayu.

“Pendekatan keras Akmal akan menyebabkan mereka hilang undi bukan Melayu yang selama ini menyampah melihat Umno membuli (dalam BN). Sebarang tindakan yang akan menjurus ke arah itu akan mencemarkan kerajaan perpaduan hari ini,” kata pemimpin kanan MCA Ti Lian Ker.

Katanya, Umno perlu sedar bahawa mereka tidak boleh lagi menggunakan isu kaum.

“Orang Melayu sudah semakin bijak tetapi anda menakutkan Cina dan India, yang akhirnya akan menghapuskan MCA dan MIC,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau melihat Umno mula mengenepikan BN selepas pilihan raya umum (PRU) lalu, dan parti itu lebih berminat untuk menjadi pelindung Melayu dalam suasana politik semasa.

“BN boleh dianggap mati. Mereka tidak diminta untuk menyelaraskan apa-apa pun. Umno sudah jadi ekstremis.

“Untuk Akmal, dia ambil alih peranan PAS. Di di laluan yang salah.

“Dia fikir Melayu akan bersatu jika dia sasarkan bukan Melayu tetapi dia tidak ada imaginasi politik. Dia juga menggunakan taktik yang sudah lapuk,” katanya yang juga bekas naib presiden MCA.

Beliau mengulas laporan eksklusif The Malaysian Insight semalam mengenai kedudukan goyah Umno di Pahang, yang selama ini dianggap negeri paling selamat untuk parti Melayu itu.

Umno dijangka hilang penguasaan di negeri itu ke tangan Perikatan Nasional (PN) jika PRU diadakan sekarang, menurut kaji selidik Merdeka Center.

Akmal kini meraih perhatian melalui gesaan boikot terhadap KK Mart berikutan kes jualan stoking kontroversi dengan kalimah “Allah” di jaringan kedai runcit itu. 

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh antara pemimpin parti Melayu itu yang bertindak melampau, kata veteran politik. – Gambar Facebook, 2 April, 2024.

Penganalisis melihat Akmal menggunakan isu kaum dan agama untuk memenangi semula sokongan Melayu yang beralih kepada PN sejak PRU lalu. Pada masa ini, parti PN iaitu PAS dan Bersatu mengawal hampir sepenuhnya semua negeri Melayu di utara.

Umno juga semakin hilang sokongan di Pahang.

Kaji selidik di Pahang tepat

Bekas pemimpin DAP P Ramasamy pula berkata Umno dan Akmal kini terdesak kini hilang kredibiliti.

“Mereka guna politik kaum untuk kekal relevan tetapi pengundi Melayu nampak ada alternatif lain lebih baik bersama PN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau melabel Akmal sebagai pencetus masalah, dan menganggap tekanan terhadap KK Mart dilakukan dengan agenda politik.

“Dia nampaknya dapat sokongan daripada kepimpinan partinya. Perdana menteri juga senyap saja berkaitan isu itu. Beliau boleh hentikan isu ini daripada jadi semakin besar,” katanya. 

Katanya, trend mengundi pada masa ini tidak berpihak kepada gabungan PH-BN lagi.

“Kaji selidik di Pahang itu nampaknya tepat. Walaupun PN ada majoriti kerusi di negeri itu, PH-BN bergabung untuk mentadbir negeri itu. Habislah Umno pada masa akan datang,” kata bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu.

Parti baharunya, Urimai akan menyokong PN dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baru (KKB) di Selangor yang akan diadakan.

“PRK KKB akan menunjukkan betapa Umno hilang sokongan Melayu. Ia juga berisiko kepada PH/DAP kerana hubungan mereka dengan Umno,” katanya.

Beliau berkata masyarakat Cina juga perlu mempertimbangkan semula sokongan mereka terhadap PH/DAP jika DAP terus berdiam diri dengan cara Umno menggunakan isu kaum.

Bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker berkata Akmal Saleh mengambil alih peranan PAS dengan menyasarkan bukan Melayu dan guna taktik kaum yang sudah lapuk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2024.

Situasi tidak terlalu buruk di Pahang

Bagaimanapun, bekas ketua Pemuda MIC C Sivaraj pula berpendapat Umno tidak musnah sepenuhnya di Pahang.

Beliau berkata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail menjalankan tugasnya dengan cemerlang di negeri itu.

“Saya percaya Umno akan kekal di Pahang kerana MB melakukan tugas dengan cemerlang dalam membangunkan negeri itu dan menjaga kebajikan rakyatnya, daripada kehidupan harian hinggalah kepada pendidikan.

“Melayu di Pahang suka kepadanya,” kata bekas ahli Parlimen Cameron Highlands itu kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun katanya, MIC dan MCA belum dapat meraih sokongan kaum masing-masing untuk BN.

Katanya, PH mungkin hilang sokongan kaum India jika kerajaan perpaduan gagal menunaikan janjinya untuk memperkasakan masyarakat India sejak 2008. 

“Perdana menteri dan kerajaan perpaduan perlu mengutamakan agenda kaum India yang boleh mempengaruhi pengundi India.”

Pengundi Cina di Pahang sama saja seperti negeri lain di seluruh negara yang akan terus menyokong PH/DAP, katanya. – 2 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen