Anwar ucap takziah kepada keluarga Devaki Krishnan


Mendiang Devaki meninggal dunia malam tadi. – Gambar Facebook, 21 Januari, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Devaki Krishnan, wanita pertama terpilih memegang jawatan awam Malaysia yang meninggal dunia malam tadi.

Menerusi perkongsian dalam Facebook beliau, Anwar berkata Devaki adalah sosok penting dalam sejarah perjuangan yang mengangkat martabat wanita dalam kepimpinan dan politik serta sanggup mengabadikan hayatnya demi masyarakat.

“Turut berdukacita atas pemergian wanita pertama terpilih memegang jawatan awam Malaysia Devaki Krishnan malam tadi.

“Jasa dan pengorbanan mendiang akan dikenang buat selamanya. Takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.

Devaki yang meninggal dunia pada usia 100 tahun dilahirkan pada 11 Mac 1923 dan memulakan karier sebagai guru sebelum memenangi kerusi dalam Majlis Perbandaran di Kuala Lumpur pada 1952, sekali gus menjadi wanita pertama Malaysia dipilih sebagai penjawat awam.

Mendiang yang dilahirkan di Port Dickson, Negeri Sembilan terlibat dalam politik pada 1950 dan menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 1951 atas jemputan presiden pengasas parti itu Onn Jaafar.

Devaki juga merupakan wanita India pertama dianugerahkan gelaran Tan Sri pada 1995 serta pernah menerima pelbagai anugerah sepanjang hayatnya termasuk Tokoh Wanita dan Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO). – Bernama, 21 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen