Cadangan bina loji janakuasa Labuan dibawa ke Kabinet 24 Januari ini, kata Fadillah


Fadillah melawat projek penggantian paip di tangki agihan utama air di Pulau Enoe di Labuan, hari ini. – Gambar Facebook, 21 Januari, 2024.

CADANGAN pembinaan loji janakuasa baharu oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk menangani gangguan bekalan elektrik berterusan di pulau bebas cukai ini akan dibincangkan semasa mesyuarat Kabinet pada 24 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata cadangan loji janakuasa itu yang diterajui Petronas ialah usaha sama dengan Suruhanjaya Tenaga Sabah (SEC) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dengan sasaran penyiapan projek itu ditetapkan pada 2027.

“Kami akan membentangkan cadangan projek loji janakuasa baharu ini ke Kabinet untuk diluluskan diikuti dengan langkah seterusnya iaitu pasukan teknikal akan berusaha untuk memuktamadkan Surat Hasrat (LoI),” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berkata pasukan teknikal itu terdiri daripada wakil daripada Petronas, Suruhanjaya Tenaga (ST), SEC, SESB dan beberapa agensi kerajaan Sabah yang berkaitan.

“Matlamatnya adalah untuk memastikan projek yang dimuktamadkan itu merangkumi pertimbangan pengedaran, penjanaan dan permintaan.

“Menurut Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abd Rahman, Labuan memerlukan sekurang-kurangnya 150 megawatt, tetapi loji sedia ada mempunyai kapasiti 130 megawatt,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek penggantian paip di tangki agihan utama air di Pulau Enoe di Labuan, hari ini.

Beliau berkata jika bekalan kuasa terbukti mencukupi untuk Labuan, ia berpotensi diperluas untuk manfaat Sabah.

Fadillah berkata jawatankuasa teknikal mesti ditubuhkan untuk memuktamadkan isu berkaitan dengan projek yang dicadangkan itu.

“Kerja jawatankuasa dijangka selesai pada September ini,” katanya.

Terdahulu, Fadillah diberikan taklimat mengenai pelbagai isu berkaitan dengan bekalan tenaga di Labuan dan operasi SESB di stesen janakuasa di Patau-Patau.

Beliau berkata cadangan pembinaan loji janakuasa baharu itu selaras dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa lawatannya ke Labuan pada Disember tahun lepas.

Anwar pada sesi pertemuan ketika itu berkata penyelesaian jangka panjang bagi masalah gangguan bekalan elektrik di Labuan perlu dibuat, justeru kerajaan Persekutuan mencadangkan Petronas membina sebuah stesen janakuasa baharu bagi menangani masalah berkenaan. – Bernama, 21 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen