Kedai gunting rambut, pembuat barang kemas masih kurang pekerja, kata Ramanan


Ramanan berkata KUSKOP tidak akan membuat sebarang pengumuman bagi pihak Kementerian Sumber Manusia. – Gambar Facebook, 21 Januari, 2024.

KEDAI gunting rambut dan pembuat barang kemas di negara ini antara sektor yang mengalami kekurangan pekerja, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R. Ramanan.

Bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)  tidak akan membuat sebarang pengumuman bagi pihak Kementerian Sumber Manusia, sebaliknya akan meminta penerangan daripada Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong mengenai isu itu.

“Sudah tentu, saya sudah melalui pegawai kami menghubungi pegawai sedia ada di Kementerian Sumber Manusia dan mereka maklumkan ada 5,000 daripada kuota yang diumumkan masih belum dipenuhi, masih lagi kosong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Festival Ponggal dan Pelancaran Program Keusahawanan Wanita (WES) anjuran Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia (MAICCI) di Kuala Lumpue, semalam apabila perkara tersebut dibangkitkan MAICCI.

Pada September lepas, jemaah menteri bersetuju membuka sebanyak 7,500 kuota bagi pengambilan subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, pekerja tekstil dan tukang emas.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membuka semula pengambilan pekerja asing bagi tiga subsektor perkhidmatan berkenaan yang dibekukan sejak 2009.

Sementara itu, Ramanan juga memaklumkan kepada pihak WES yang mewakili usahawan wanita pelbagai latar belakang perniagaan supaya tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam program dan inisiatif dilaksanakan KUSKOP khasnya untuk golongan wanita.

Menurutnya ia termasuk Program Pemerkasaan Usahawan Wanita (PUAN), Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI), UDA Bizznita, TEKUNNita, serta ‘Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent’ (SWEET). – Bernama, 21 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen