Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja


Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja di Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar Jabatan Penerangan, 20 Januari, 2024.

YANG di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja di Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut berangkat menghadiri majlis itu Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis yang bermula pada pukul 3 petang itu dihadiri 2,500 tetamu termasuk menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Parlimen, duta-duta dan perwakilan asing ke Malaysia.

Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul. 

Turut hadir tiga bekas perdana menteri, iaitu Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Majlis bersempena tamat pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini  turut dimeriahkan dengan persembahan orkestra oleh Kolej Yayasan Saad dari Melaka.

Pasangan Diraja itu turut meluangkan masa hampir satu jam bersalaman, beramah mesra dan berswafoto dengan tetamu jemputan dalam majlis itu.

Acara lain yang akan berlangsung sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka Baginda termasuk Majlis Jamuan Negara yang dijadualkan pada 27 Januari ini. 

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari ini. – Bernama, 20 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen