SPRM serbu rumah Tan Sri berkait perolehan kenderaan bernilai RM4.5 bilion


Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim mengesahkan serbuan namun enggan mengulas lanjut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2024.

KEDIAMAN seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait dakwaan rasauah untuk mendapatkan perolehan kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

Memetik laporan Utusan Malaysia, pegawai SPRM hadir ke kediaman ahli perniagaan itu itu yang terletak di ibu negara sekitar jam 10 pagi semalam.

Agensi anti rasuah itu turut menyerbu empat syarikat milik Tan Sri itu bagi mendapatkan dokumen bagi membantu siasatan.

“Tan Sri berkenaan adalah pemegang saham individu ter­tinggi di dalam syarikat pembekal kenderaan kerajaan itu.

“Susulan siasatan dilakukan SPRM, lebih 100 akaun persendirian dan syarikat yang di bawah kawalannya diperolehi SPRM bagi semakan lanjut namun tiada pembekuan akaun dibuat,” kata sumber SPRM.

Akhbar bahasa Melayu itu melaporkan tindakan SPRM itu merupakan kesinambungan kepada siasatan yang dijalankan sejak Julai tahun lalu.

Sementara Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim mengesahkan serbuan namun enggan mengulas lanjut.

Katanya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009. – 20 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen