Penerbit dan pengarah filem Mentega Terbang mohon cabar perintah gag


Penerbit dan pengarah filem Mentega Terbang, Tan Meng Kheng dan Khairi Anwar Jailani mencabar perintah gag yang dikenakan terhadap mereka. – Gambar Facebook, 19 Januari, 2024.

PEMBIKIN filem Tan Meng Kheng dan Khairi Anwar Jailani mencabar perintah gag yang melarang mereka bercakap secara terbuka berkenaan pertuduhan jenayah dikenakan terhadap mereka.

Kedua-duanya, penerbit dan pengarah filem “Mentega Terbang” didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain melalui filem itu, tahun lalu mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan dilepaskan dengan ikat jamin.

Mereka dikenakan perintah gag. Kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan pada 14 Mac.

Pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek bertindak sebagai peguam mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, Zaid berkata kedua-dua anak guamnya itu memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

“Ia bagi memohon untuk mendapat kebenaran bagi mencabar keputusan majistret mengeluarkan perintah gag terhadap mereka bagi menghalang mereka membincangkan atau memberi komen berkenaan kes itu di media dan secara umum.

“Permohonan semakan untuk Khairi difailkan di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Mahkamah Kuala Lumpur pada 9 pagi, Rabu,” kata Zaid.

Mentega Terbang adalah filem berdurasi 104 minit mengisahkan tentang seorang remaja Islam yang mencari jawapan kepada persoalan kehidupan akhirat selepas ibunya disahkan menghidapi kanser. – 19 Januari, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen