Undi awal pilihan raya presiden Finland bermula Isnin


Di Finland, presiden dipilih untuk tempoh enam tahun dan presiden yang sedang berkhidmat Sauli Niinisto memegang jawatan itu untuk tempoh maksimum dua penggal yang dibenarkan oleh Perlembagaan. – Gambar Facebook, 17 Januari, 2024.

PENGUNDIAN awal untuk pilihan raya presiden Finland bermula pada Isnin, seminggu lebih awal daripada hari pengundian pada 28 Januari, lapor Sputnik.

Proses pengundian awal akan berjalan sehingga 23 Januari untuk rakyat dalam negara dan sehingga 20 Januari bagi pengundi yang berada di luar negara, menurut jadual Kementerian Kehakiman yang dimuat naik dalam laman sesawang mereka. Andai perlu dijalankan pusingan penentu ia akan dijadualkan pada 11 Februari.

Pemilihan presiden itu menyaksikan persaingan antara dua calon utama iaitu bekas perdana menteri Alexander Stubb dan bekas menteri luar Pekka Haavisto.

Tinjauan terbaharu oleh akhbar Helsingin Sanomat menunjukkan, Stubb mendapat sokongan daripada 24% pengundi manakala 22% lagi memilih Haavisto.

Terdapat tujuh lagi calon lain, termasuk speaker Parlimen Jussi Halla-aho, Gabenor Bank Pusat Olli Rehn dan Menteri Pertanian dan Perhutanan Sari Essaya.

Di Finland, presiden dipilih untuk tempoh enam tahun. Presiden yang sedang berkhidmat Sauli Niinisto memegang jawatan itu untuk tempoh maksimum dua penggal yang dibenarkan oleh Perlembagaan. – Bernama, 3 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen