PM, jemaah menteri hadiri pemukiman di Cyberjaya


Program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 di Cyberjaya akan memberi penumpuan kepada mencari ikhtiar baharu untuk melonjakkan ekonomi negara. – Gambar Facebook, 17 Januari, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim bersama barisan anggota Kabinet hari ini menghadiri program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 di Cyberjaya.

Program itu, yang berlangsung di Cyberview Resort & Spa selama dua hari sehingga esok, turut dihadiri oleh 15 jemputan khas, demikian menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Anwar, yang juga menteri kewangan, tiba pada kira-kira 2.40 petang dengan disambut oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. 

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.

Menurut JPM, program itu dilaksanakan selaras dengan hasrat perdana menteri untuk menyampaikan mandat kepada semua anggota jemaah menteri dan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam mengenai hala tuju serta strategi kerajaan sepanjang tahun ini selain bagi jangka sederhana dan panjang.

Pemukiman itu bertujuan mencapai penjajaran matlamat, mewujudkan rasa kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan anggota jemaah menteri terhadap pelan tindakan kerajaan yang bersepadu serta tuntas berteraskan konsep keseluruhan kerajaan dan keseluruhan negara.

“Program permukiman kali ini juga membawa matlamat untuk memantapkan sinergi dan kerjasama antara jemaah menteri bersama kepimpinan perkhidmatan awam serta memberdaya iltizam dalam melaksanakan pelan-pelan tindakan tersebut (dengan Pelaksanaan Berfokus) untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani,” katanya.

Menurut JPM, program itu membawa beberapa sesi wacana serta forum yang melibatkan pakar daripada sektor awam dan swasta, industri selain organisasi antarabangsa. 

Perkara yang dibincang mencakupi aspek seperti Cabaran dan Hala Tuju Ekonomi, Kebajikan dan Keselamatan Sosial, Pembangunan Infrastruktur dan Kemampanan, Tadbir Urus, Inovasi dan Komunikasi ke arah kemakmuran negara, kata JPM.

Semalam, Anwar berkata sesi pemukiman kali ini akan memberi penumpuan kepada mencari ikhtiar baharu untuk melonjakkan ekonomi negara selain meneliti pelaksanaan dasar yang telah dilancarkan oleh kerajaan sepanjang 2023.

Sesi pemukiman pertama perdana menteri bersama jemaah menteri yang berlangsung di Putrajaya pada Januari tahun lepas antara lain membincangkan soal hala tuju dan penetapan petunjuk prestasi utama setiap kementerian dalam kerajaan perpaduan. – Bernama, 17 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen