Bekas setiausaha politik Mohamad Sabu bebas tuduhan rasuhan RM6.48 juta


MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu daripada tujuh pertuduhan menerima dan meminta rasuah berjumlah RM6.48 juta daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan projek di kementerian itu.

Peguam Haijan Omar mewakili tertuduh Mohd Azhar Che Mat Dali, 53, ketika dihubungi pemberita berkata Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian pada prosiding perbicaraan kes di peringkat pendakwaan Jumaat lepas.

“Saya sahkan mahkamah melepas dan membebaskan anak guam saya daripada tujuh pertuduhan tersebut. Itu sahaja saya boleh sahkan,” kata peguam itu ketika diminta penjelasan mengenai pembebasan tersebut.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat.

Pada 15 Oktober 2020 Mohd Azhar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta suapan RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd., Elias Jemadi Tajudin sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Senggaraan Bagi Peralatan Perisikan Kementerian Pertahanan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kampung Baru di Kuala Lumpur pada 22 Julai 2019.

Mohd Azhar juga didakwa atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.35 juta daripada Elias Jemadi melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd., Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya antaranya di parkir kediaman rasmi Menteri Pertahanan di Kuala Lumpur antara September 2019 dan Februari 2020.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Oktober 2020, Mohd Azhar mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menerima suapan RM130,000 daripada Elias Jemadi dan Zainudin bagi tujuan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan Kota Damansara, Petaling Jaya, pada 2019.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tujuh pertuduhan itu dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur. – Bernama, 15 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen