Forum ekonomi dunia buka tirai di Davos hari ini


Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) kali ke-54 membuka tirainya di Davos, Switzerland hari ini. – Gambar EPA, 15 Januari, 2024.

MESYUARAT Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) kali ke-54 membuka tirainya di Davos, Switzerland hari ini, lapor Sputnik.

Bertemakan “Rebuilding Trust”, forum itu dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 19 Januari, antara lain akan menumpukan kepada prinsip ketelusan, konsistensi dan akauntabiliti.

Agenda forum itu dijangka merangkumi keselamatan makanan, tenaga, krisis iklim, inflasi, risiko geopolitik dan kecerdasan buatan.

Menurut pihak penganjur, wakil daripada lebih 100 kerajaan, organisasi antarabangsa serta pemimpin masyarakat sivil, usahawan sosial selain wakil belia, pakar dan agensi media dijangka menyertai forum itu.

Sementara itu, pemimpin dari Argentina, Perancis, Greece, Iraq, Jordan, Qatar, Sepanyol, Ukraine dan Vietnam dijangka berucap selain Perdana Menteri China Li Qiang, Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat Jake Sullivan, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres. – Bernama, 15 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen