Lebih 100,000 daftar PADU di Johor


SERAMAI 112,524 atau 4.1% warga Johor sudah mendaftar dengan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat semalam, sejak sistem itu dilancarkan pada 2 Januari lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Johor dalam kenyataan memaklumkan jumlah pendaftaran itu dilihat masih kurang memberangsangkan.

“Justeru, warga Johor dijemput hadir untuk membuat kemas kini profil di kaunter fizikal PADU di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) berhampiran,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu memaklumkan pegawai DOSM Johor akan berada di kaunter PEDi terpilih untuk membantu orang ramai dalam mengemas kini PADU.

Menurut kenyataan itu, rakyat Johor juga boleh hadir ke semua pejabat DOSM negeri di Johor Bahru, Kluang, Muar dan Batu Pahat bagi tujuan berkenaan.

Kemas kini juga boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web PADU www.padu.gov.my selain maklumat terkini berkaitan sistem itu boleh didapati menerusi media sosial rasmi PADU, Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia atau DOSM Johor.

PADU bertujuan menjadi sumber utama kerajaan dalam pengagihan subsidi dan penyaluran bantuan secara bersasar. – Bernama, 14 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen