Gunung Merapi meletus lagi


Gunung Merapi di Sumatera Barat meletus lagi hari ini, sebulan selepas letupan yang mengorbankan 20 nyawa. – Gambar Agensi, 14 Januari, 2024.

GUNUNG Merapi di Indonesia meletus lagi hari ini dengan memuntahkan abu mencapai ketinggian 1,300 meter dari puncak, sebulan selepas letusan yang membawa maut, menurut agensi geologi negara itu.

Agensi terbabit berkata, gunung berapi di wilayah Sumatera Barat itu meletus sekurang-kurangnya dua kali pada jam 6.21 pagi waktu tempatan hari ini.

Sehubungan itu, mereka menggesa pemindahan orang ramai dalam lingkungan 4.5 kilometer dari pusat letusan, dengan kemungkinan aliran lahar menuju ke sungai dan lembah.

“Jika terdapat hujan abu, kami menggesa penduduk untuk menggunakan pelitup muka bagi mengelakkan penyakit berkaitan pernafasan,” kata agensi itu.

Pada Disember lalu, lebih 20 orang terbunuh selepas Merapi, salah sebuah gunung berapi paling aktif di Sumatera, meletus dan memuntahkan abu setinggi 3km.

Indonesia berada di Lingkaran Api Pasifik, kawasan dengan aktiviti seismik tinggi di atas pelbagai plat tektonik.

Abu gunung berapi akibat letusan hari ini melitupi rumah, kenderaan dan khemah pemindahan berdekatan yang didirikan agensi bencana tempatan.

Sesetengah penduduk pergi ke kemudahan kesihatan untuk pemeriksaan pernafasan dan pihak berkuasa mengedarkan pelitup muka. – Agensi, 14 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen